UKHUWAH Islamiyyah tidak mengenal sempadan negeri, daerah mahu pun bangsa. Itulah yang dapat dibuktikan oleh rombongan Yayasan Ikhlas cawangan Sabah yang bekerjasama dengan Baitulmal Sarawak dan Urusetia Saudara Kita (USK) cawangan Lawas dalam menganjurkan program Bakul Kasih Ramadhan (BKR) di Masjid Ukhuwwah Al-Falah, Ulu Merapok, Lawas, Sarawak, pada 18 Jun yang lalu.
Seramai 50 keluarga miskin dan muallaf telah menerima sumbangan BKR dalam program yang dijayakan bersama oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Kinabalu dengan Etiqa Takaful Berhad sebagai penyumbang dana terbesar.
“Sumbangan ini mungkin tidak mampu mengubah taraf hidup penduduk kampung ini tapi sekurang-kurangnya menggembirakan golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba. Sumbangan ini lebih kepada dasar persahabatan dan kasih sayang sesama muslim,” kata Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas cawangan Sabah, Dr Ustaz Sarip Adul.
“Kami sangat terharu kerana Yayasan Ikhlas sanggup datang ke kampung ini. Insya-Allah semoga program yang lebih menarik dapat dijalankan dengan kerjasama erat kedua-dua pihak,” kata Puan Nor Syaza Syafiqah Abdullah, Pengerusi Urusetia Saudara Kita (USK) cawangan Lawas, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang majoriti ahli ialah saudara baru dan komited membantu golongan muallaf lain.
Yayasan Ikhlas bukan nama yang asing bagi beliau memandangkan terdapat banyak program berbentuk kebajikan melibatkan kerjasama YI Sarawak dan USK sebelum ini.
Ustaz Shahtella Montel yang mewakili Baitulmal Sarawak mendoakan agar usaha ini tidak sia-sia dan semoga menjadi pencetus kepada penerima untuk terus beramal dan mendekatkan diri dengan Allah. Beliau juga mendoakan agar usaha ini diberkati dan digandakan pahala lebih-lebih di bulan Ramadhan.
Pada hari sebelumnya, rombongan Dr Sarip Adul dan 20 sukarelawan ISMA Kota Kinabalu diterajui Ketua Biro Pemuda, Dr Mohamad Sobri Mohamad Saupi turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan BKR kepada 50 keluarga miskin dan muallaf di Kampung Pelakat, Sipitang.
Tahun ini, Yayasan Ikhlas menyasarkan seramai 2,500 penerima Bakul Kasih Ramadhan di seluruh Malaysia. Selain Sipitang & Lawas, Yayasan Ikhlas cawangan Sabah terlibat dalam mengagihkan sumbangan BKR kepada 250 keluarga yang miskin dan muallaf di sekitar Sabah, iaitu 3 pusat penyerahan di Tambunan, 2 di Lahad Datu dan satu di Sandakan, selain penyerahan dari rumah ke rumah, sepanjang 16 hingga 21 Jun lepas.
Mohamad Sobri Mohamad Saupi
Ketua Biro Pemuda ISMA Kota Kinabalu
The post Ukhuwah merentas sempadan, dari KK sampai ke Lawas, Sarawak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ukhuwah merentas sempadan, dari KK sampai ke Lawas, Sarawak
0 Komentar untuk "Ukhuwah merentas sempadan, dari KK sampai ke Lawas, Sarawak"