MANILA, 7 Ramadan 1438H, Jumaat – Puluhan pengunjung sebuah hotel terkemuka di sini – Resorts World Manila – bertempiaran melarikan diri selepas beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah mereka, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Pekerja Red Cross Filipina memberitahu sekurang-kurangnya 25 orang cedera.
Lelaki bersenjata memakai topeng itu dilaporkan berada di tingkat dua hotel berkenaan melepaskan tembakan ke arah pengunjung dan pekerja, menyebabkan beberapa orang cedera.
Letupan juga dilaporkan kedengaran, menyebabkan keadaan panik.
Saksi berkata, beberapa penyerang membakar meja judi, sementara pengunjung, termasuk warga asing melarikan diri ke tingkat bawah tanah hotel berkenaan.
Anggota polis, bomba dan pasukan taktikal SWAT dilihat mengepung sekitar hotel berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Resorts World Manila, juga dikenali sebagai RWM adalah kompleks resort di Pasay City, kawasan kediaman dan pusat komersial di Manila. RWM mempunyai rangkaian hotel dan restoran, selain turut menempatkan pusat perjudian, pusat beli-belah dan pawagam.
Kompleks berkenaan disifatkan oleh RWM sebagai resort bersepadu terbesar dan pertama di Filipina, terletak di seberang Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.
Militan IS berpangkalan di Filipina dikatakan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Kerajaan Filipina sedang bergelut dengan keganasan, terutama di pulau selatan Mindanao di bandar Marawi, apabila tentera kerajaan sedang berperang dengan militan IS yang mengawal bandar itu.
Pertempuran di Marawi – bandar terbesar umat Islam – menyebabkan kira-kira 70,000 orang melarikan diri.
Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Marawi minggu lalu. – Agensi
The post (VIDEO) Pengganas serang Resort World Manila, puluhan cedera appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di (VIDEO) Pengganas serang Resort World Manila, puluhan cedera
0 Komentar untuk "(VIDEO) Pengganas serang Resort World Manila, puluhan cedera"