Gema Semua Maklumat

1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan

1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan

SINGAPURA, 18 Syawal 1438H, Rabu – Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei dipenjara 54 bulan selepas didapati bersalah berhubung kes pengubahan wang haram dan penipuan berjumlah berbilion dolar, yang disalah guna daripada syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan portal Straits Times Singapura, hukuman penjara 54 bulan itu adalah tempoh terpanjang setakat ini, yang dikenakan oleh mahkamah negara itu berkaitan kesalahan membabitkan 1MDB.

Yeo, 34, mengaku bersalah dan disabitkan dengan satu tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan penipuan, termasuk lapan pertuduhan lain yang diambil kira.

Hukuman berkenaan akan berjalan serentak dengan hukuman penjara 30 bulan sebelum ini, yang bermula pada Disember tahun lalu.

Yeo berulang kali menafikan dia mempunyai hubungan rapat dengan hartawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga sedang disiasat atas dakwaan pengalihan wang secara haram dikaitkan dengan dana 1MDB.

Yeo telah diambil bekerja oleh bank yang berpangkalan di Switzerland itu sebagai perancang kemewahan antara Disember 2009 hingga Julai 2014.

Dia didakwa menggelapkan sejumlah RM80.66 juta dari pelbagai sumber, termasuk skim haram untuk menipu BSI ketika bekerja di bank itu.

Yeo adalah individu ketiga yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan 1MDB yang disiasat oleh pihak berkuasa Singapura.

Yeo dituduh memberi kemudahan bagi transaksi terlarang melibatkan 1MDB yang membawa kepada penutupan BSI di sini.

Sementara, pegawai kanan bank, Yak Yew Chee dijatuhi hukuman penjara selama 18 minggu dan denda kerana memalsukan dokumen serta gagal mendedahkan transaksi mencurigakan yang didakwa berkaitan dengan hartawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Seorang lagi pegawai bank, Yvonne Seah Yew Foong dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu dan denda pada 16 Disember tahun lalu atas kesalahan sama.

Denda tertinggi sebanyak AS$128,000 dikenakan terhadap bekas pengurus Bank Falcon, Jens Sturzenegger yang turut berdepan penjara selama 28 minggu.

The post 1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "1MDB: Bekas pegawai bank Singapura dipenjara 54 bulan"

Back To Top