Gema Semua Maklumat

Jururawat terkejut ada bom bawah kereta

Jururawat terkejut ada bom bawah kereta

KUALA SELANGOR, 15 Syawal 1438H, Ahad – Polis awal pagi ini berjaya memusnahkan bom yang ditemui di bahagian bawah kereta Proton Saga milik seorang jururawat di Kapar di sini.

Jururawat wanita, P. Janagi yang berusia 27 tahun itu berkata, pada awalnya dia mendengar bunyi ‘beep’ yang berterusan semasa dia sedang memandu kira-kira pada jam 10 malam semalam.

Dia dikatakan terdengar bunyi tersebut semasa dalam perjalanan dari tempat kerja untuk pulang ke rumahnya di Taman Nesa Kampung Simpang 3, Jeram, Kuala Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa kemudiannya singgah ke rumah bapa saudaranya di Taman Damai di Kapar dan memintanya memeriksa punca bunyi itu pada keretanya.

“Susulan itu, bapa saudara mangsa menemukan objek berwarna hitam menyerupai bahan letupan buatan sendiri yang dilekatkan di bawah bampar kereta itu dan mencabutnya. Semasa bapa saudaranya mencabut objek tersebut, ia masih mengeluarkan bunyi ‘beep’ sebelum mereka memaklumkan kepada pihak polis sejurus selepas itu,” katanya.

Fadzil berkata, selepas menerima laporan penemuan objek itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan mengesahkan ianya merupakan bahan letupan buatan sendiri dari jenis Improvised Explosive Device (IED).

“Hasil pemeriksaan, objek terbabit didapati mempunyai dua silinder yang dibalut dengan pita berwarna hitam selain dilengkapi dengan papan litar elektronik dengan wayar berwarna merah dan hitam termasuk suis.

“Bom terbabit dimusnahkan kira-kira pukul 2.30 pagi ini di kawasan padang bola bersebelahan Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya masih lagi mengenalpasti motif kejadian itu termasuklah suspek yang terlibat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

The post Jururawat terkejut ada bom bawah kereta appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jururawat terkejut ada bom bawah kereta
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Jururawat terkejut ada bom bawah kereta"

Back To Top