JOHOR BAHRU, 16 Syawal 1438H, Isnin – Keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi telah melantik peguam bagi menguruskan kes membabitkan arwah.
Susulan laporan media hari ini mengenai punca kematian anaknya disebabkan penyakit kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain, ibu kepada mangsa, Felda Wani Ahmad memaklumkan, beliau telah menghubungi peguam berkenaan petang tadi.
Keluarganya bagaimanapun, katanya, langsung tidak dimaklumkan berkenaan laporan bedah siasat, sebaliknya hanya mengetahui berita tersebut melalui laporan media.
“Ramai saudara-mara dan rakan juga menghubungi suami (Mohd Gadaffi Mat Karim) bertanyakan apakah benar laporan bedah siasatan berkenaan.
“Saya terkilan kerana keluarga tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya dan saya juga sudah menghubungi peguam petang tadi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan mengenai laporan bedah siasat berkenaan.
“Proses untuk mendapatkan laporan penuh perubatan juga diserahkan kepada peguam,” katanya yang dipetik akhbar tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan punca kematian Thaqif adalah Leptospirosis (kencing tikus) yang dirumitkan lagi dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit, seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi.
The post Keluarga Thaqif hubungi peguam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Keluarga Thaqif hubungi peguam
0 Komentar untuk "Keluarga Thaqif hubungi peguam"