Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 17 Syawal 1438H, Selasa – Semua pihak diminta akur dengan laporan bedah siasat yang merumuskan pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
Bercakap perkara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, meskipun ada yang terkejut, masyarakat tidak boleh terburu-buru memberikan pandangan yang hanya mengundang pelbagai isu hasil dari tanggapan persepsi yang tidak betul.
“Jangan ada pihak menyalahkan pihak lain dan mudah membuat penghukuman sebelum mengetahui perkara yang sebenar,” katanya kepada Ismaweb.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar warden yang digantung tugas diberi pembelaan yang sewajarnya memandangkan keputusan laporan bedah siasat adalah disebabkan penyakit kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain.
Pada 19 April lalu, Thaqif dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.
Kedua-dua kaki pelajar berusia 11 tahun itu dipotong selepas mengalami darah beku, sementara tangan kirinya dijadual dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.
Kemudian, pada 18 Mei lalu pula, kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan.
Laporan bedah siasat yang diumumkan semalam merumuskan penyakit kencing tikus dan bukannya trauma akibat pukulan sebagai punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia pada 26 April lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diperolehi berdasarkan bedah siasat pada hari sama pelajar itu meninggal dunia April lalu menggunakan sampel tisu dan darah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dan Jabatan Kimia.
The post Kes Thaqif: Semua pihak perlu akur laporan bedah siasat, kata iGuru appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kes Thaqif: Semua pihak perlu akur laporan bedah siasat, kata iGuru
0 Komentar untuk "Kes Thaqif: Semua pihak perlu akur laporan bedah siasat, kata iGuru"