Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 17 Syawal 1438H, Selasa – PAS sekali lagi menggesa kerajaan supaya menghapuskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Keuntungan Saham, sebagai langkah mengurangi kos sara hidup dalam kalangan rakyat.
Memandang serius isu itu, Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, isu kos sara hidup dilihat semakin meruncing sejak pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
“Bukan sahaja perbelanjaan orang perseorangan dan isi rumah yang terjejas, malah syarikat persendirian turut terkena tempiasnya.
“Kajian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Prof Madya Dr Mohamad Fazli Subri menunjukkan 59.7 peratus penduduk di ibu kota terbeban dengan peningkatan kos sara hidup. Gologan miskin bandar semakin bertambah dan meruncing.
“Kerajaan dalam satu kenyataan ingin mengkaji elemen yang menyumbang kepada kos sara hidup di kawasan bandar. Apakah Kerajaan tidak sedar satu tangan mereka kelihatannya ingin membantu mengurangi bebanan kos sara hidup tetapi satu tangan yang lain sedang menambah luka kepada rakyat dengan dasar-dasar dan polisi yang meningkatkan kos sara hidup rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengesyorkan pelepasan cukai Duti Eksais sebanyak 60 peratus yang dikenakan ke atas kenderaan di bawah 1500cc, diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah bagi mengurangkan kos memiliki kenderaan pertama.
“Pelepasan ini boleh dilaksanakan dalam bentuk pemberian rebat. Saya pernah mencadangkan perkara ini sebelum ini,” katanya.
Turut mengulas isu sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan penubuhan dua jawatankuasa kerajaan berkaitan kos sara hidup pada 2014 hingga 2016 dilihat tidak berperanan jelas dalam menyelesaikan isu itu.
Katanya, kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup dan Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup sepatutnya memberikan penumpuan bagi menangani punca kepada isu berkenaan antaranya;
“Memansuhkan GST dan menggantikannya dengan cukai alternatif lain (seperti Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Keuntungan Saham yang dicadangakan oleh PAS) jika negara masih memerlukan cukai;
“Menilai tahap pematuhan syarikat dan perniagaan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada serta mengenakan tindakan kepada pihak yang melanggarinya;
“Menangguhkan semua pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas barangan utama (seperti bahan api, sumber tenaga dan makanan) sehingga keadaan ekonomi domestik kembali stabil dan rancak;
“Menyelesaikan isu pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian graduan negara ini dan mengurangkan pengambilan pekerja asing;
“Menyediakan pelan alternatif bagi menggantikan struktur ekonomi yang terlalu bergantung kepada sektor gas dan petroleum; dan juga cukai serta saman,” katanya.
The post PAS mahu kerajaan ganti GST dengan Cukai Simpanan Korporat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PAS mahu kerajaan ganti GST dengan Cukai Simpanan Korporat
0 Komentar untuk "PAS mahu kerajaan ganti GST dengan Cukai Simpanan Korporat"