JOHOR BAHRU, 17 Syawal 1438H, Selasa – Pihak polis belum menutup kertas siasatan kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis kini dalam proses mendapatkan nasihat daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung tindakan selanjutnya dalam kes ini.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi kononnya polis sudah menutup kes ini, kita akan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan tindakan selanjutnya,” katanya pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Dewan Dato’ Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata laporan bedah siasat mendapati kematian Mohamad Thaqif Amin adalah disebabkan penyakit kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain.
Pada 19 April lalu, Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail selepas dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki yang didakwa akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.
Susulan kejadian itu, pembantu warden pusat tahfiz terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
The post Kes Thaqif: Polis belum tutup kertas siasatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kes Thaqif: Polis belum tutup kertas siasatan
0 Komentar untuk "Kes Thaqif: Polis belum tutup kertas siasatan"