Gema Semua Maklumat

Longgar syarat lulus BM dikhuatiri jejas peluang pengamal perubatan tempatan: I-Medik

Longgar syarat lulus BM dikhuatiri jejas peluang pengamal perubatan tempatan: I-Medik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 9 Syawal 1438H, Isnin – Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu bagi pelantikan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 dibimbangi akan menjejaskan peluang pekerjaan pengamal perubatan keluaran Malaysia.

Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azmi Md Nor berkata, jika syarat lulus Bahasa Melayu dilonggarkan, pengamal perubatan berkelayakan luar negara akan menggunakan peluang itu untuk bekerja di Malaysia.

“Umum mengetahui bahawa, syarat wajib kredit dan lulus bahasa Melayu memang sudah termaktub dalam polisi kerajaan bagi sesiapa yang ingin menyertai perkhidmatan kerajaan semenjak dahulu lagi.

“Walaubagaimana pun, polisi ini telah diberi kelonggaran pada masa dahulu bagi graduan perubatan disebabkan kekurangan doktor pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Dr Azmi berkata, sudah tiba masanya kerajaaan menguatkuasakan semula syarat wajib kredit Bahasa Melayu berikutan lambakan doktor di negara hari ini.

Malah beliau turut mengesyorkan supaya ia dijadikan syarat bagi semua bidang perkhidmatan kerajaan dan bukan sahaja perubatan.

“I-Medik memandang sudah tiba masanya syarat kredit Bahasa Melayu SPM untuk perlantikan tetap dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan tegas demi memenuhi aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan dan selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Kami maklum bahawa Bahasa Melayu penting untuk komunikasi dengan pesakit yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu dalam rangka merumuskan diagnosa yang tepat dan jitu untuk merawat pesakit sebaik-baiknya.

“Sebaliknya, jika pengamal perubatan kurang mahir atau tidak memahami Bahasa Melayu, maka boleh berlaku kesilapan dalam diagnosa dan rawatan yang boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Dr Azmi turut berpendapat bahawa subjek sejarah juga sepatutnya menjadi subjek wajib lulus bagi mereka yang ingin berkhidmat dalam sektor awam.

“Penjawat awam yang kenal sejarah akan lebih dedikasi dan terdorong untuk lebih produktif dan efisien dalam kerjaya mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.

Dr Noor Hisham berkata, semua calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat Lulus BM ketika lantikan kontrak perlu memenuhi syarat Lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.

Malah, kementerian mengambil maklum bahawa calon persendirian yang mendaftar untuk Peperiksaan SPM kali pertama boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tunggal iaitu bagi memenuhi syarat perkhidmatan lantikan ke perkhidmatan awam, tanpa perlu menduduki subjek SPM lain.

The post Longgar syarat lulus BM dikhuatiri jejas peluang pengamal perubatan tempatan: I-Medik appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Longgar syarat lulus BM dikhuatiri jejas peluang pengamal perubatan tempatan: I-Medik
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Longgar syarat lulus BM dikhuatiri jejas peluang pengamal perubatan tempatan: I-Medik"

Back To Top