Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 10 Syawal 1438H, Selasa – Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41, menunjukkan kegagalan kerajaan mempertahan dasar penting negara.
Membantah tegas perkara itu, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya menyifatkan langkah berkenaan sebagai helah politik sesetengah pihak untuk mengekalkan kuasa.
“Keputusan ini sangat tidak wajar tanpa mengambil kira implikasi bahasa Melayu di masa hadapan. Ini sekali lagi melihat kegagalan kerajaan untuk mempertahankan dasar penting negara kerana tunduk kepada desakan segelintir bukan Melayu.
“Bahasa melambangkan bangsa. Jadi apabila ia tidak lagi jadi isu teras, maka sedikit demi sedikit bangsa Melayu akan berkubur,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, perjuangan kerajaan yang diterajui UMNO sebagai parti kononnya memperjuangkan agenda Melayu hanyalah sekadar retorik semata-mata.
“Kita mohon kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan itu dan kekalkan keperluan BM pada mana-mana perjawatan.
“Kita juga menyeru semua pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan kerajaan dan pemimpin Melayu untuk bangun serta menentang usul yang negatif tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.
Dr Noor Hisham berkata, semua calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat Lulus BM ketika lantikan kontrak perlu memenuhi syarat Lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.
BERITA BERKAITAN:
JPA longgar syarat lulus Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan kontrak
The post Longgar syarat lulus BM hanya helah politik untuk kekal kuasa: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Longgar syarat lulus BM hanya helah politik untuk kekal kuasa: Isma
0 Komentar untuk "Longgar syarat lulus BM hanya helah politik untuk kekal kuasa: Isma"