Gema Semua Maklumat

Cukai baru diperkenal, GST diperluas selepas PRU: Kadir Jasin

Cukai baru diperkenal, GST diperluas selepas PRU: Kadir Jasin

BANGI, 15 Syawal 1438H, Ahad – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menjangkakan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memperluaskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), atau memperkenalkan cukai baharu, jika menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, suasana ketidaktentuan dalam dasar dan prestasi percukaian kerajaan boleh dilihat apabila cadangan memasukkan 60 jenis lagi bahan makanan ke dalam senarai GST, dibatalkan.

“Di satu pihak kerajaan memerlukan pendapatan baru atau tambahan bagi menampung perbelanjaan yang meningkat dan mengimbangi kejatuhan hasil daripada sesetengah sumber.

“Bagi yang kurang arif mengenai masalah fiskal dan kewangan yang sedang dihadapi oleh kerajaan sekarang, satu cara mudah bagi memahaminya adalah dengan melihat betapa cergasnya pihak-pihak penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan majlis tempatan membuat operasi serta mengeluarkan saman dan kompaun.

“Manakala daripada sudut perbelanjaan pula, rakyat jelata boleh melihat atau merasa sendiri dengan meneliti potongan peruntukan untuk sektor kemasyarakatan utama seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, rakyat sudah melihat atau berasa kesannya apabila hospital dan klinik kesihatan kerajaan mengawal pemberian ubat dan pengurangan drastik bilangan biasiswa pengajian tinggi oleh agensi pendidikan.

Keadaan ini, katanya, diburukkan lagi oleh ketirisan yang berpunca daripada ketidakcekapan, salah guna kuasa serta rasuah dan semuanya dilaporkan secara terperinci dan meluas oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya.

“Di sini ada satu ironi yang hebat. Majoriti kakitangan awam dan agensi separuh kerajaan adalah Melayu dan beragama Islam. Tetapi daripada siasatan, tangkapan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), kita mendapat gambaran mengenai betapa korupnya perkhidmatan awam dan penggerak politik kita,” katanya.

A Kadir berkata, pembatalan memasukkan 60 jenis bahan makanan baharu ke dalam senarai barang yang dikenakan GST adalah keputusan politik.

“Kerajaan memerlukan wang dan mengarah pihak-pihak yang memungut cukai supaya mencari sumber baharu. Tetapi pada masa yang sama, kerajaan mengakui sebarang tambahan kepada senarai GST akan membebankan lagi pengguna dan ini tidak baik untuk politik.

“Kita kena faham iaitu pegawai-pegawai kerajaan yang ditugaskan mencari dan memungut hasil seperti Ketua Pengarah Kastam, (Datuk Indera) Subromaniam Tholasy, tidak peduli sama ada tindakan mereka membebankan rakyat jelata atau tidak. Tugas mereka adalah mencadangkan dan melaksanakan pungutan hasil, khususnya cukai, bagi pihak kerajaan.

“Lagi banyak cukai yang dikutip, lagi baik buat mereka. Itulah petunjuk utama prestasi (KPI) mereka. Bagi mereka, lagi banyak hasil yang dipungut, lagi tinggilah KPI mereka dan lagi cerahlah peluang kenaikan pangkat. Kebajikan rakyat jelata bukan masalah mereka. Itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, dengan PRU semakin hampir dan persaingan bertambah hebat, aspek kedua dasar fiskal iaitu kebajikan rakyat jelata menjadi sangat penting.

“Tindakan murah hati kerajaan menjelang PRU seperti bonus, sagu hati dan bayaran khas akan membebankan lagi kewangan negara yang sudah pun kritikal.

“Jadi kita bolehlah menjangkakan iaitu walaupun senarai barang dan perkhidmatan yang kena GST tidak diperluas sekarang, ia mungkin laksanakan selepas PRU atau kerajaan memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Pelancongan,” katanya.

The post Cukai baru diperkenal, GST diperluas selepas PRU: Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Cukai baru diperkenal, GST diperluas selepas PRU: Kadir Jasin
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Cukai baru diperkenal, GST diperluas selepas PRU: Kadir Jasin"

Back To Top