Gema Semua Maklumat

Pengubahan wang haram: Thailand perhebat siasat syarikat Malaysia

Pengubahan wang haram: Thailand perhebat siasat syarikat Malaysia

BANGKOK, 7 Syawal 1438H, Sabtu – Thailand menubuhkan jawatankuasa pelbagai agensi untuk memperhebatkan siasatan yang dijalankan sekarang ke atas sebuah syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam aktiviti haram secara besar-besaran, termasuk pengubahan wang haram di negara itu.

Syarikat itu yang mempunyai kepentingan perniagaan di Thailand mula dipantau di Malaysia baru-baru ini, kerana didakwa mendalangi skim piramid yang kompleks membabitkan beribu-ribu pelabur dan jutaan ringgit.

“Siasatan masih dijalankan. Kami telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi kerajaan bertanggungjawab bagi penguatkuasaan undang-undang termasuk Biro Anti Narkotik (NSB),” kata seorang pegawai tertinggi kepada Bernama, baru-baru ini.

Agensi lain yang terbabit, termasuk Pejabat Anti Penggubahan Wang Haram (Amlo), Jabatan Siasatan Khas (DSI), Jabatan Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam, Pejabat Kawalan Narkotik (ONCB) dan Jabatan Pembangunan Perniagaan.

Wakil dari bank pusat negara itu, Bank of Thailand (BoT), juga terbabit dalam siasatan ke atas syarikat itu.

Menurut satu sumber, jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat baru-baru ini dan dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa membincangkan cara-cara untuk mengambil tindakan baharu dan lebih agresif dalam usaha untuk mendakwa syarikat itu, kerana dikatakan menjalankan aktiviti secara haram di Thailand melibatkan pelbagai sektor perniagaan.

“Kami akan merumuskan strategi dan kaedah baharu dalam siasatan,” katanya sambil menambah bahawa setiap agensi akan ditugaskan dengan tanggungjawab tertentu, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Pihak berkuasa juga telah menyiasat sama ada syarikat itu mempunyai apa-apa kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah di negara itu, tetapi tidak menjumpai apa-apa bukti.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa Thailand sebenarnya telah mula menyiasat syarikat itu kira-kira setahun lalu bermula dengan siasatan ke atas lima anak syarikatnya, tetapi memperluaskan skop siasatan apabila pembabitn sebenar syarikat berkenaan dalam aktiviti haram mula terdedah.

Syarikat itu yang beroperasi di Thailand selama beberapa tahun, dikatakan terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan, termasuk hotel dan resort, hiburan, restoran, pengurup wang dan pangsapuri di Thailand.

Kebanyakan perniagaan yang diceburinya terletak di bandar-bandar yang sibuk seperti Hatyai, Danok dan wilayah lain di selatan Thailand.

Siasatan yang diperhebatkan iitu ialah kesinambungan siasatan lebih setahun bermula dengan serbuan ke atas hotel berkaitan syarikat itu di selatan Thailand pada Januari tahun lepas apabila pihak berkuasa menemui wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai 83 juta Baht (kira-kira RM10.3 juta).

Serbuan ke hotel itu adalah sebahagian daripada siasatan terhadap kes pembunuhan berprofil tinggi seorang lelaki warga Malaysia berusia 54 tahun pada Disember 2015.

Lelaki itu ditembak mati di siang hari oleh penyerang menggunakan raifel M-16 ketika memandu kereta Mercedez Benz miliknya bersama seorang wanita ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Hatyai.

Wanita tersebut, yang cedera parah terselamat dalam insiden itu.

Susulan serbuan pada Januari tahun lepas, yang membawa kepada penemuan sejumlah besar mata wang asing, polis Thailand meminta kerjasama DSI dan agensi lain termasuk Amlo untuk membantu siasatan bagi menjejaki aktiviti wang haram itu.

Sementara itu, sumber berkenaan berkata, jawatankuasa pelbagai agensi yang menjalankan siasatan ke atas syarikat tersebut juga berminat untuk memantau apa-apa perkembangan berhubung siasatan baru-baru ini yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas syarikat terbabit.

“Kami memerhatikan dengan penuh minat siasatan yang dijalankan oleh agensi berkaitan di Malaysia,” kata sumber itu yang tidak mahu dikenali kerana sensitiviti maklumat.

Pihak berkuasa di Malaysia telah membuat serbuan ke atas premis dan pejabat syarikat itu serta membekukan akaunnya mengandungi simpanan bernilai jutaan ringgit. – Bernama

The post Pengubahan wang haram: Thailand perhebat siasat syarikat Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pengubahan wang haram: Thailand perhebat siasat syarikat Malaysia
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Pengubahan wang haram: Thailand perhebat siasat syarikat Malaysia"

Back To Top