KUCHING, 19 Syawal 1438H, Khamis – Sarawak akan kekal dalam Malaysia, demikian tegas Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Penegasan itu dibuat untuk memastikan tidak ada pihak yang takut dengan langkah kerajaan negeri menghantar pasukan perundangan ke London.
“Tok Nan (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) telah memulakan usaha ini untuk mendapat autonomi Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maka saya akan teruskan warisannya, tetapi kita tak akan buat secara membabi buta,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap pihak yang ragu dengan tindakannya yang menghantar pasukan peguam ke London untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri.
“Kita perlukan fakta supaya kita dapat rundingkan perkara-perkara penting kepada rakyat dan negara, kita harap Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) terbuka hati apabila kita mahu duduk berbincang,” katanya.
Jelas Abang Johari, matlamatnya menghantar pasukan perundangan ke London adalah untuk mendapatkan fakta supaya kerajaan negeri dapat mewujudkan satu kedudukan undang-undang yang kukuh seperti yang termaktub dalam MA63.
“Apa yang menjadi hak Sarawak, kita minta berikan kembali kepada Sarawak. Hanya semudah itu.
“Kenapa ada orang yang takut bila kita hantar pasukan perundangan ke London, termasuk mereka yang di Semenanjung Malaysia? Apa yang perlu ditakuti? Kami akan kekal di Malaysia dan itu hakikatnya,” jelas Abang Johari.
The post Sarawak kekal dalam Malaysia, kata Abang Johari appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Sarawak kekal dalam Malaysia, kata Abang Johari
0 Komentar untuk "Sarawak kekal dalam Malaysia, kata Abang Johari"