KUALA LUMPUR, 7 Syawal 1438H, Sabtu –Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik di daerah Serian, Sarawak dijangkiti Rabies atau penyakit anjing gila.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai kejadian kluster jangkitan rabies yang dinotifikasi dari Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 22 Jun lalu.
Katanya, semua kes yang membabitkan mangsa berumur empat, enam dan tujuh tahun pada awalnya disyaki menghidap penyakit viral encephalitis dan menunjukkan tanda dan gejala seperti demam, kadang-kala bersikap pelik, agresif dan rasa takut terhadap air.
“Dalam kes pertama, mangsa mengalami tanda dan gejala seperti di atas pada awal bulan Jun dan dirujuk ke hospital daerah berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.
“Dalam kes kedua, mangsa juga menunjukkan tanda dan gejala yang sama, lebih kurang seminggu lalu dan mangsa juga dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak kerana keadaan bertambah teruk, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes ketiga turut dilaporkan mengalami tanda sama dan dirujuk ke hospital yang sama. Dr Noor Hisham berkata semua mangsa dimasukkan ke wad rawatan intensif kanak-kanak, yang dua daripadanya terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan.
Katanya, siasatan lanjut turut mendapati dua daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang sebulan atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi mangsa tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing atau tidak.
“Beberapa sampel ujian air kencing, air liur dan biopsi kulit dari semua kes diambil dan dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan menunjukkan keputusan positif kehadiran virus rabies,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, KKM mengambil beberapa langkah kawalan dan pencegahan termasuk menjalankan siasatan menyeluruh dan menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pasif serta mengeluarkan ‘alert’ kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta di daerah berdekatan lokaliti kejadian.
Dr Noor Hisham berkata individu atau manusia yang dijangkiti Rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma.
Katanya, penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian seratus peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera. INFO – Penyakit Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus.
Ia boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing yang dijangkiti Rabies. – Jangkitan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies. BERNAMA
The post Tiga kanak-kanak dijangkiti anjing gila appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tiga kanak-kanak dijangkiti anjing gila
0 Komentar untuk "Tiga kanak-kanak dijangkiti anjing gila"