Gema Semua Maklumat

Akta 164: Kerajaan mesti utamakan kedaulatan Islam

Akta 164: Kerajaan mesti utamakan kedaulatan Islam

Sumber foto: Harakahdaily

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Zulkaedah 1438H, Isnin – PAS dan kerajaan mengadakan majlis diskusi hari ini di bangunan Parlimen berhubung isu pindaan Akta 164 yang mencetuskan pertikaian dan kekeliruan banyak pihak.

Serentak itu, PAS turut menyerahkan rumusan Muzakarah Akta 164 dengan pandangan dan cadangan untuk diteliti oleh kerajaan berhubung dengan isu berkenaan.

Perbincangan selama dua jam itu dihadiri oleh wakil PAS iaitu Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara, pihak kerajaan diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Azalina Othman, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Nasrudin dalam satu kenyataan berkata, pihak kerajaan menyambut baik pandangan yang dikemukakan dan menerima dokumen Muzakarah Akta 164 daripada pihak PAS untuk dipertimbangkan.

“Ini adalah langkah ketiga diambil oleh pihak PAS setelah langkah pertama, pandangan disuarakan dalam Parlimen oleh YB Dato Takiyudin bin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu) dan YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen Kuala Nerus).

“Sementara langkah kedua, PAS menganjurkan muzakarah (Sidang Meja Bulat) Akta 164 dan kini langkah ketiga, kami mengangkat rumusan muzakarah tersebut kepada pihak kerajaan,” katanya.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Katanya, PAS menegaskan bahawa pindaan Akta 164 perlu dilihat pada kerangka besar kedaulatan Islam dalam Perlembagaan dan perundangan negara termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Isu bersabit hak mualaf dalam membubarkan perkahwinan sivil perlu ditangani berasaskan pengharmonian antara perundangan sivil dan perundangan syariah.

“Insya-Allah, langkah berikut akan dimaklumkan dari masa ke semasa untuk terus memberi pandangan dan memperjuangkan kedudukan umat Islam dan keadilan buat semua termasuk non-Muslim.

“Langkah yang diambil adalah bertepatan dengan budaya politik matang dan sejahtera dengan mengurus tindakan politik berasaskan penyelesaian,” katanya.

The post Akta 164: Kerajaan mesti utamakan kedaulatan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Akta 164: Kerajaan mesti utamakan kedaulatan Islam
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Akta 164: Kerajaan mesti utamakan kedaulatan Islam"

Back To Top