Gambar hiasan
MELAYU DAN ISLAM adalah elemen yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Sejak awal kemerdekaan hinggalah kini, bahkan jauh sebelum zaman penjajahan Tanah Melayu, Islam sudah sebati dengan tanah bertuah ini. Meskipun sebelum kedatangan Islam agama Hindu mendominasi wilayah nusantara, ianya gagal memberi kesan yang mendalam kepada penduduk.
Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya beliau Islam and Secularisme menegaskan hakikat ini adalah kerana tidak seperti mana Islam yang berdiri di atas rasional yang kukuh, menyeluruh dan lengkap, agama Hindu tidak mempunyai nilai-nilai tersebut. Ianya bersifat estetik semata.
Kelebihan Islam ini menjadikan masyarakat Melayu selaku penduduk asal Tanah Melayu mudah menerima Islam sebagai cara hidup sekaligus menanamkan pasak yang kukuh sebagai bekal generasi terkemudian.
Setelah beberapa lama Islam menikmati keakraban tak berbelah bagi ini, kini hubungan ini dicabar oleh unsur-unsur sekular, liberal, plural dan lebih membimbangkan ateisme. Bukan sahaja ianya bercanggah dengan nilai Islam, ia turut bercanggah dengan nilai agama-agama lain yang wujud di atas dunia.
Walau bagaimanapun, sejarah telah membuktikan, ateisme sebagai respon kepada kekecewaan terhadap agama, bukanlah jawapannya.
Enlightment, Revolusi Perancis menjadi bukti apa yang diimpikan (penolakan agama) tidak bertahan lama, yang akhirnya beralih pula kepada post-modernisme dalam beragama, namun akhirnya tetap runtuh juga.
Kini, dengan berani pula fahaman ini muncul di kalangan anak-anak Melayu, secara terang-terangan sambil bergelak tawa seolah-olah bangga dengan fahaman yang dianuti.
Malahan lebih menyedihkan muncul pula manusia-manusia apologetik dari kalangan Melayu Islam sendiri yang seakan-akan mempertahankan tindakan mereka dengan mengalihkan perhatian kepada umat Islam sendiri yang dikatakan menjadi punca kepada kemunculan mereka.
Kononnya tiada apa yang perlu dihairankan dek sikap umat Islam yang hanya tahu menghukum, menindas agama lain, bersikap ‘holier than thou’, ekstremis dan pelbagai tohmahan. Kononnya andai umat Islam mengamalkan nilai-nilai sejagat yang lebih ‘murni’ masakan muncul masalah sebegini.
Kononnya antara ciri agama Islam ialah murunah iaitu fleksibel mengikut peredaran zaman maka seharusnya Islam juga berkembang mengikut zaman. Adakah Islam moderat yang longgar, berpaksikan pencairan identiti Islam mengikut nilai peradaban Barat yang dimaksudkan sebagai nilai yang lebih murni?
Kerangka epistemologi ilmu perlu jelas. “How do you know what you know is true”; perkara ni sangat penting dalam pemikiran. Jadi, kerangka pemikiran apa dan bagaimana yang digunapakai anak-anak Melayu Muslim kita, sampai sanggup menjadi ateis?
Kelemahan muslim, bukan bererti kelemahan Islam, sehingga sanggup kita mengenepikan satu satunya agama yang diterima Allah swt. Jelas, di dalam Al Quran, Surah Al Imran : Ayat 19 yang mafhumnya, “Sesungguhnya agama di sisi Allah, hanyalah Islam…”
Tidaklah salah untuk kembali bermuhasabah, merenung di mana kesilapan dan kekhilafan kita sebagai umat Islam sehingga Allah menurunkan ujian sebegini. Mungkin benar kita masih dengan pendekatan yang lama tanpa mengambil kira situasi sosio-politik-ekonomi yang sentiasa dinamik.
Mungkin benar. Namun muhasabah adalah untuk merefleksi kelemahan, memperbaiki seterusnya meneruskan amal dengan semangat, langkah dan pendekatan yang baharu dan tepat, tanpa mengorbankan teras, asas dan matlamat perjuangan. Ianya bukan untuk dicanang-canang, diratapi dan dipandang jelek, kerana ini hanya umpama memberi peluru tambahan kepada agenda musuh menyerang kita.
Misalannya, jika kita tinggal dalam sebuah kubu, kemudian kubu diserang musuh dari semua arah. Serangan yang dilancarkan begitu dahsyat. Ditambah pula dengan keadaan kubu yang goyah, lemah dan banyak kelemahan. Belum lagi dikira pengkhianat di kalangan penduduk kota.
Maka dalam keadaan itu adakah wajar kita terus menyalahkan keadaan kota yang teruk dan berkata, “Apa nak hairan? Kubu kita lemah, memang patut diserang. Salah kita juga” lantas meratapi kekalahan sambil beratib ini salah kita ini salah kita.
Atau kita terus berjuang mempertahankan kubu yang disayangi secara bermati-matian dalam masa yang sama berusaha menampal segala lubang, retak dinding kota dan mencari pengkhianat yang membawa mudarat kepada kota?
Mana satu tindakan seorang pejuang yang berani? Mana satu pula tindakan pejuang bacul, lemah jati diri dan seorang pengalah? Mana pergi segala maqasid syar’iyyah yang dicanang-canang dan diperkudakan?
Maqasid utama dalam maqasid syar’iyyah iaitu menjaga agama (hifz al-din) termasuk di dalamnya mempertahakan kesucian agama daripada dihina dan dipermainkan. Usahlah sibuk menunggang terma maqasid untuk melonggarkan nilai Islam andai maqasid yang awal ini gagal dipegang dengan baik. Kelemahan perlu ditangani, Islam perlu dipertahan.
Oh, dan memang Islam itu sifatnya murunah namun jangan disalah ertikan maksud murunah. Murunah bererti fleksibel, boleh disesuaikan dengan segala keadaan, masa dan tempat tanpa mengorbankan nilai-nilai Islam yang teras. Jika berubah-ubah mengikut peredaran zaman dengan mengorbankan nilai teras Islam, itu bukanlah murunah, tetapi itu namanya punah!
Ustaz Adam bin Badhrulhisham
Kolej Universiti Islam Melaka
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Ateis Melayu: Antara Pejuang dan Pengalah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ateis Melayu: Antara Pejuang dan Pengalah
0 Komentar untuk "Ateis Melayu: Antara Pejuang dan Pengalah"