PUTRAJAYA, 15 Zulkaedah 1438H, Selasa – Tiada sebarang siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan aset berlebihan yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan tidak akan dilakukan selagi pihaknya tiada menerima laporan berhubung dakwaan itu.
“Apa yang akan menjadi dasar siasatan? Kita tidak boleh menyiasat kes rasuah tanpa laporan rasmi mengenainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan dan pendedahan yang menyerang sesama dua pemimpin itu, berhubung kekayaan luar biasa yang dimiliki mereka.
Zahid sebelum ini berkata, beliau sanggup disiasat oleh SPRM berhubung wang yang dimilikinya bernilai RM230 juta, didakwa ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Pemuda UMNO pada akhir 1990-an – dengan syarat suruhanjaya itu juga perlu menyiasat Dr Mahathir serta anak-anaknya.
Perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu adalah susulan pendedahan Dr Mahathir yang meminta Zahid menjelaskan dari mana beliau memperoleh sejumlah wang berkenaan ketika membuat perisytiharan apabila dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM tidak boleh mengambil sebarang tindakan berdasarkan ‘cerita’, namun sebaik laporan rasmi dibuat, pasukannya akan menilai kes itu dan membuka kertas siasatan sekiranya terdapat asas kepada laporan itu.
“Terdapat banyak tuduhan, tetapi perkara yang paling penting bagi kami SPRM adalah untuk mengetahui sama ada terdapat unsur rasuah.
“Memiliki kekayaan luar biasa bukan bermakna anda korup. Mana-mana pihak yang mahu SPRM menyiasat kes rasuah mestilah mematuhi prosedur penyiasatan kami. Kami tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa kita,” katanya.
The post Buat laporan rasmi, baru boleh siasat: SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Buat laporan rasmi, baru boleh siasat: SPRM
0 Komentar untuk "Buat laporan rasmi, baru boleh siasat: SPRM"