Gema Semua Maklumat

China bakal tempatkan radar pengawasan, sistem peluru berpandu di Johor, lapor akhbar

China bakal tempatkan radar pengawasan, sistem peluru berpandu di Johor, lapor akhbar

BANGI, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Malaysia menerima cadangan China untuk mewujudkan Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah berpangkalan di Johor yang dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu, lapor The Straits Times Singapura, hari ini, yang sekali gus dilihat usaha Negara Tembok Besar itu untuk memperkukuh pencerobohannya di Laut China Selatan.

Memetik sumber pegawai kanan kerajaan Malaysia, akhbar itu melaporkan, cadangan penempatan radar dan sistem peluru berpandu itu disentuh secara ringkas ketika perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kaunselor Negara China, Wang Yong, selepas majlis pecah tanah pembinaan rojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), semalam.

Straits Times berkata, sumber itu memberitahu bahawa perbincangan mengenainya masih berjalan dan keputusan muktamad akan diketahui selepas Najib bertemu Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, November ini.

Kerajaan komunis China dilaporkan menawarkan sehingga 12 unit sistem pelancar roket pelbagai guna (MLRS) jenis AR3 kepada Malaysia.

Menurut laman military-today.com, sistem artileri roket AR3 boleh digunakan untuk sasaran strategik yang jauh dan berkemampuan melancarkan peluru berpandu konvensional sehingga 280 kilometer.

“MLRS biasanya digunakan untuk serangan dari permukaan ke permukaan,” kata Felo Kajian S Rajaratnam School of International Studies, Dr Wu Shang Su.

Katanya, peluru berpandu jarak jauh itu yang bakal ditempatkan di Johor boleh mencapai sehingga ke Indonesia, selain mampu melakukan serangan tepat terhadap sasarannya.

Strait Times melaporkan, sumber itu berkata, Najib tidak akan menolak tawaran China untuk memperkukuhkan keupayaan keselamatan, jika bantuan kewangan bagi projek itu menarik minatnya.

Cadangan untuk mengembangkan hubungan ekonomi dengan China yang diperluaskan kepada sistem pertahanan, timbul ketika pertemuan Najib dengan Xi Jinping di Beijing pertengahan Mei lalu, di mana pemimpin China itu mengemukakan satu senarai inititatifnya.

Ini termasuk memastikan peranan China dalam mengetuai pembangunan dua projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura serta Bangkok, Thailand; dan saluran paip minyak khusus untuk memenuhi keperluan tenaga China.

Ia turut menyatakan bahawa China dan syarikat minyak negara Malaysia – Petronas – akan bekerjasama untuk mengeksploitasi sumber yang kaya di Laut China Selatan.

Sebelum ini, China dilaporkan hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di Laut China Selatan yang menempatkan pelancar peluru berpandu jarak jauh.

Imej satelit yang dikaji juga menunjukkan China memasang sistem pertahanan, termasuk senjata antipesawat dan antipeluru berpandu, di semua tujuh pulau buatan itu.

Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) berkata, penemuan itu diperoleh walaupun, kenyataan pemimpin China bahawa Beijing tidak berniat meletakkan tentera di kepulauan yang menjadi laluan strategik perdagangan, di mana wilayah itu juga dituntut oleh beberapa negara.

Malaysia antara negara yang turut menuntut kedaulatan ke atas wilayah di Laut China Selatan itu.

AMTI berkata, mereka telah mengesan pembinaan struktur sistem senjata di terumbu Fiery Cross, Mischief dan Subi di Kepulauan Spratly sejak Jun dan Julai lalu, di mana China sudah membina lapangan terbang kecil tentera di kepulauan itu.

Imej satelit di Terumbu Hughes dan Gaven menunjukkan apa yang dilihat sebagai senjata antipesawat dan sistem senjata antipeluru berpandu CIWS. Gambar satelit dari Terumbu Fiery Cross pula menunjukkan imej menara yang menempatkan seolah-olah radar sasaran.

China bina sistem pertahanan canggih di pulau buatan di Laut China Selatan

The post China bakal tempatkan radar pengawasan, sistem peluru berpandu di Johor, lapor akhbar appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di China bakal tempatkan radar pengawasan, sistem peluru berpandu di Johor, lapor akhbar
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "China bakal tempatkan radar pengawasan, sistem peluru berpandu di Johor, lapor akhbar"

Back To Top