Gema Semua Maklumat

Isa Samad kekal sebagai pengerusi SPAD

Isa Samad kekal sebagai pengerusi SPAD

KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1438H, Isnin – Peranan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kekal, walaupun ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu kekal ekoran Isa hanya dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes pembelian dua buah hotel mewah oleh Felda Investment Corporation (FIC).

“Setakat yang kita maklum, beliau hanya dipanggil untuk siasatan dan tidak didakwa.

“Beliau masih tetap sebagai pengerusi bertindak dan keputusan menggantikan atau melantik pengerusi baru bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Bagaimanapun Nancy berkata, susulan penahanan Isa, pengerusi sementara telah dipilih di kalangan Ahli Lembaga Pengarah SPAD.

Isa ditahan oleh SPRM pada 15 Ogos lalu, selepas memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015, kira-kira jam 4.24 petang.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.

Isa adalah antara suspek yang termasuk dalam senarai individu utama yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung pembelian hotel berkenaan.

Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Januari 2011, kemudian digantikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, Januari lalu.

Beliau bagaimanapun, kekal sebagai Pengerusi FGV, sebelum meletak jawatan pada 19 Jun, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus memberinya jawatan dengan melantiknya memangku Pengerusi SPAD.

The post Isa Samad kekal sebagai pengerusi SPAD appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isa Samad kekal sebagai pengerusi SPAD
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Isa Samad kekal sebagai pengerusi SPAD"

Back To Top