PUTRAJAYA, 28 Zulkaedah 1438H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad adalah suspek dalam siasatan kes pembelian dua buah hotel mewah di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Pengesahan itu sekali gus menolak kenyataan peguam Isa, Datuk K Kumaraendran yang dilaporkan berkata, bahawa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu hanya dipanggil untuk membantu siasatan, bukan sebagai suspek.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, setiap individu yang ditahan bagi membantu siasatan adalah dikira sebagai suspek.
“Mana-mana orang yang ditangkap adalah suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Minggu lalu, Isa direman selama lima hari selepas memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 kepada SPRM kira-kira jam 4.24 petang pada 15 Ogos.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.
Isa adalah antara individu yang termasuk dalam senarai individu utama untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung pembelian hotel berkenaan.
Sebelum ini, tiga individu penting membabitkan bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid dan Datuk Dr Omar Salim serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.
The post Isa Samad suspek pembelian dua hotel FIC: SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isa Samad suspek pembelian dua hotel FIC: SPRM
0 Komentar untuk "Isa Samad suspek pembelian dua hotel FIC: SPRM"