KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar berkaitan isu penindasan dan kekejaman dilakukan rejim negara itu terhadap etnik Rohingya.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selain akan meminggirkan negara itu, langkah berkenaan boleh menyempitkan peluang Malaysia serta negara ASEAN lain untuk menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya di Rakhine.
“Hubungan dua hala antara Malaysia dan Myanmar yang berada pada tahap baik pada waktu ini telah membolehkan misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ disempurnakan dengan jayanya pada Februari 2017.
“Kerajaan Myanmar telah menyambut baik inisiatif kerajaan Malaysia dan NGO (badan bukan kerajaan) yang dipimpin oleh YB Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim).
“Mereka juga telah memberikan kerjasama penuh bagi memastikan proses pengagihan barang-barang keperluan kepada komuniti yang terjejas di Rakhine berjalan lancar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.
Reezal Merican juga berkata, Malaysia akan terus mengekalkan penglibatan yang membina dalam hubungan bilateral dan multilateral dengan kerajaan Myanmar untuk mencari punca masalah dalam isu penindasan etnik Rohingya di Rakhine.
“Isu mengenai etnik Rohingya di Myanmar sememangnya amat kompleks dan perlu ditangani secara tuntas melalui pendekatan ‘constructive engagement’ (penglibatan membina) yang dilihat lebih berkesan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Pada waktu ini, perkembangan menunjukan kerajaan Myanmar lebih responsif kepada syor yang telah dikumpulkan oleh Suruhanjaya Penasihat Rakhine yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu di bawah pimpinan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan.
Laporan interim daripada suruhanjaya itu telah dikeluarkan pada 16 Mac lepas yang antara lain mengandungi 29 syor bagi memulihkan keadaan di Myanmar dan laporan akhir dijangka dibentang pada akhir bulan ini. – Bernama
The post Isu Rohingya: Kerajaan tak putus hubungan diplomatik dengan Myanmar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isu Rohingya: Kerajaan tak putus hubungan diplomatik dengan Myanmar
0 Komentar untuk "Isu Rohingya: Kerajaan tak putus hubungan diplomatik dengan Myanmar"