Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 8 Zulhijjah 1438H, Rabu – Lambakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis liberal yang menganggu gugat pemikiran masyarakat Islam negara ini perlu dipantau secara serius.
Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, pemahaman liberal merupakan pemikiran jahiliyah moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai muslim, khususnya yang berlatarbelakangkan pendidikan Barat.
“Pemikiran ini berasal dari ideologi sekular liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke dalam masyarakat umat Islam.
“Kita tidak mahu mereka dengan sewenangnya menghasut pemikiran umat Islam kita. Misalnya, baru-baru ini Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25 membawa masuk tokoh liberal Islam Indonesia.
“Bayangkan bagaimana organisasi seperti IRF ini dibiarkan secara terbuka menganjur wacana Kritik Teks Al-Quran ini, di atas nama ‘sekadar perbezaan pendapat dan meraikan kebebasan berekspresi’. Kita cukup kesal mudahnya mereka menyebarkan dakyah,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.
Bulan lalu, IRF dan G25 dilaporkan membawa masuk idea-idea liberal yang sesat ke negara ini apabila menjemput tokoh Islam Liberal, Dr Mun’im Sirry ke sesi dialog ‘Scriptural Polemics: The Quran and Other Religions’ anjuran mereka.
Lebih kontroversi apabila Dr Mun’im Sirry mengatakan al-Quran tidak relevan dan diturunkan pada era Mesopotamia.
Mengulas lanjut Ustaz Omar berkata, kenyataan seperti itu sudah menyalahi hukum Islam, jadi kerajaan jangan lagi berlembut dengan mereka.
“Malaysia adalah negara yang berdaulat, ada perundangannya yang tersendiri. Apalagi apabila kita kini sudah 60 tahun merdeka.
“Kita minta sangat NGO liberal ini tidak mudah mendapat lesen untuk bercakap di bidang yang mereka bukan ahlinya,” kata Ustaz Omar.
The post Jangan biar IRF, G25 rosakkan Islam di Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jangan biar IRF, G25 rosakkan Islam di Malaysia
0 Komentar untuk "Jangan biar IRF, G25 rosakkan Islam di Malaysia"