BANGI, 15 Zulkaedah 1438H, Selasa – Persatuan Cina Muslim (MACMA) Kelantan berharap mereka yang baharu memeluk Islam tidak dipaksa menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah.
Pengerusinya, Johari Yap berkata, selain untuk memelihara nasab, pengekalan nama asal Cina Muslim penting kerana ia melambangkan nama generasi dan diri sendiri.
Namun, katanya, Cina Muslim boleh menggunakan nama Arab yang mempunyai makna baik, sambil mengekalkan nama asal sepenuhnya.
“Bagi mereka yang bukan Cina, mereka juga sebenarnya boleh di’bin’ atau di’binti’kan dengan bapa mereka sendiri. Sebagai contoh, Husna binti Balasundram, Muhammad bin Cham Roen, atau Mimi binti Edmond.
“Tidak perlu menggunakan bin/binti Abdullah. Kenapa harus dinasabkan kepada Abdullah sedangkan masing-masing tahu nama bapa sendiri?,” katanya.
Johari turut menceritakan beberapa rakannya yang mana seluruh keluarga memeluk Islam.
“Pada mulanya hanya suami yang memeluk Islam. Beliau menggunakan nama Ah Chong bin Abdullah. Selepas beberapa bulan memujuk isterinya, akhirnya isteri beliau juga turut memeluk Islam dan menggunakan nama Amoi binti Abdullah.
“Oleh kerana mereka menunjukkan akhlak yang sangat baik selepas memeluk Islam, akhirnya ibu Ah Chong turut mengucap dua kalimah syahadah dan menggunakan nama Ah Ma binti Abdullah dan diikuti suami beliau, Ah Kong bin Abdullah. Anak saudara Ah Chong juga tertarik dengan Islam dan nama beliau kini Ah Tan bin Abdullah.
“Sekarang Ah Chong mempunyai keluarga anak Abdullah yang cukup besar. Tidakkah ini juga akan mengelirukan?,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang turut menyentuh mengenai penggunaan istilah ‘mencinakan’ Islam berkata, salah satu faktor yang menyebabkan persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu masih tebal dalam kalangan bukan Islam, adalah kerana kebanyakan mereka yang memeluk Islam terus meninggalkan budaya lama, walaupun tidak bercanggah dengan syariat.
“Seolah-olah budaya asal tidak Islamik langsung. Atas sebab inilah gerakan Cina Muslim menggalakkan masyarakat Cina yang memeluk Islam untuk mengekalkan identiti kecinaan mereka bagi membetulkan tanggapan ini. Mereka disarankan mengekalkan identiti, jadi tidak timbul atau wujud istilah ‘mencinakan’ mereka kerana mereka sememangnya Cina.
“Sesungguhnya memeluk agama Islam tidak sedikit pun mengurangkan ‘kecinaan’ seseorang sebagaimana mengekalkan ‘kecinaan’ tidak mengurangkan keislamannya,” katanya.
The post Jangan paksa Cina baru masuk Islam berbin, berbintikan Abdullah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jangan paksa Cina baru masuk Islam berbin, berbintikan Abdullah
0 Komentar untuk "Jangan paksa Cina baru masuk Islam berbin, berbintikan Abdullah"