Gema Semua Maklumat

‘Jangan perdebat hak Melayu, hukum hakam Islam di media sosial’: Sultan Kedah

‘Jangan perdebat hak Melayu, hukum hakam Islam di media sosial’: Sultan Kedah

ALOR SETAR, 21 zulkaedah 1438H, Isnin – Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mengingatkan pemimpin politik dan masyarakat agar tidak mewujudkan suasana yang mencetuskan permusuhan sesama umat Islam.

Baginda bertitah, ketika ini pelbagai maklumat diperoleh dengan bebas tanpa ada sistem tapisan yang boleh membezakan antara hak atau yang batil.

“Akibat tindakan itu, fitnah dan cerita palsu menjadi viral dan dijaja serata tempat. Ia menjadi virus yang memporak-perandakan dan mengelirukan rakyat.

“Sikap itu juga berlaku dalam kalangan ilmuwan agama yang tidak terkecuali turut mengeluarkan fatwa, tuduh menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga masyarakat sendiri berbelah bagi,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena istiadat perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN yang ke 13 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Titah Sultan Abdul Halim lagi, jangan kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kepentingan diri, isu sensitif menjadi taruhan.

Misalnya, isu kemuliaan agama Islam, Kedaulatan Raja-Raja, Hak Istimewa Bumiputera dan hukum-hakam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial.

“Tindakan terbabit boleh mengundang tafsiran negatif. Kita harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan jujur, mempertahankan integriti dan mengurangkan polemik yang tidak berfaedah,” titah baginda.

The post ‘Jangan perdebat hak Melayu, hukum hakam Islam di media sosial’: Sultan Kedah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di ‘Jangan perdebat hak Melayu, hukum hakam Islam di media sosial’: Sultan Kedah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "‘Jangan perdebat hak Melayu, hukum hakam Islam di media sosial’: Sultan Kedah"

Back To Top