KUCHING, 16 Zulkaedah 1438H, Rabu – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong di Samarahan disahkan sebagai mangsa terbaharu jangkitan rabies di negeri itu, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa keenam itu mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu.
“Beliau telah menerima tiga dos suntikan vaksin anti-rabies di Hospital Serian pada 21 Julai 2017, 24 Julai 2017 dan 28 Julai 2017, dan dos keempat dijadualkan pada 4 Ogos 2017.
“Bagaimanapun, pada 1 Ogos 2017, kanak-kanak ini mula mengalami demam, batuk dan muntah dan dimasukkan ke wad Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, keadaan mangsa kini semakin merosot dan mengalami perubahan sikap serta halusinasi, namun telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 3 Ogos lalu.
“Beliau kini menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak dan terpaksa diberi alatan sokongan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.
“Ujian sampel yang dihantar pada 8 Ogos 2017 dan keputusan diperolehi pada hari yang sama menunjukkan positif terhadap virus rabies,” katanya.
8 Ogos lalu, sebanyak 22 kawasan di dalam tiga bahagian meliputi Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching diisytiharkan kawasan jangkitan rabies oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
The post Kanak-kanak tujuh tahun mangsa keenam rabies appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kanak-kanak tujuh tahun mangsa keenam rabies
0 Komentar untuk "Kanak-kanak tujuh tahun mangsa keenam rabies"