PUTRAJAYA, 28 Zulkaedah 1438H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiapkan kertas siasatan kes pembelian hotel di Kuching, Sarawak dan di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) sebelum mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata pada masa ini, beliau tidak boleh memberitahu bila siasatan itu akan siap.
“Bagi kami masa untuk menyiapkan siasatan pembelian dua hotel itu. Biarlah pegawai saya menjalankan siasatan itu dan buat masa sekarang, tidak ada apa-apa yang perlu didedahkan serta saya tidak boleh beritahu bila siasatan akan siap. Jadi, bersabar dan tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Luar Negeri di sini, hari ini.
Azam diminta mengulas mengenai siasatan kes pembelian hotel itu yang melibatkan penahanan beberapa individu termasuk bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang direman lima hari sejak Rabu lepas bagi membantu siasatan kes pembelian hotel FIC di London di antara 2014 dan 2015.
Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibeli pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran sehingga mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu.
Selepas itu, SPRM memulakan siasatan berhubung pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarkat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.
Ditanya mengenai kebarangkalian untuk mendakwa, Azam berkata: “Ada macam-macam kebarangkalian.”
Dalam perkembangan kes lain, beliau menegaskan bahawa SPRM tidak boleh dan tidak akan berkongsi maklumat siasatan mengenai apa-apa kes kepada orang ramai.
“SPRM tidak akan mendedahkan hasil siasatan dan risikan kepada mana-mana pihak. Maklumat Ini bukan untuk umum,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan media yang mendakwa exco Pulau Pinang Phee Boon Poh mempunyai RM2 juta dalam akaun banknya.
Baru-baru ini, media melaporkan SPRM telah membekukan empat akaun bank milik Phee ekoran siasatan berterusan ke atas sebuah kilang haram di Sungai Lembu berhampiran Bukit Mertajam.- Bernama
The post Kertas siasatan pembelian hotel FIC belum siap: SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kertas siasatan pembelian hotel FIC belum siap: SPRM
0 Komentar untuk "Kertas siasatan pembelian hotel FIC belum siap: SPRM"