PUTRAJAYA, 2 Zulhijjah 1438H, Khamis – Beberapa saksi di luar negara akan dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan pembelian hotel mewah oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, agensi penguatkuasaan itu akan ke negara berkenaan untuk menjalankan siasatan, namun ia membabitkan bantuan perundangan bersama (MLA).
Katanya, siasatan kes pembelian hotel empat bintang itu turut membabitkan saksi di luar negara, termasuk warganegara Malaysia.
“Kita kena mohon MLA melalui Peguam Negara yang akan berhubung dengan Peguam Negara di negara yang berkenaan, jadi ia akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan bilangan saksi di luar negara yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Saksi membabitkan rakyat Malaysia dan rakyat negara berkenaan. Mana-mana saksi yang kita fikir terbabit dalam siasatan yang kita rasa perlu, kita akan panggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Sebelum ini, SPRM menahan dan merekodkan kenyataan beberapa individu termasuk bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad berhubung pembelian hotel berkenaan, termasuk di Kuching, Sarawak.
FIC dilaporkan membeli hotel empat bintang di London bernilai RM330 juta, antara tahun 2013 dan 2015.
The post Kes hotel Felda: Saksi luar negara akan dipanggil appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kes hotel Felda: Saksi luar negara akan dipanggil
0 Komentar untuk "Kes hotel Felda: Saksi luar negara akan dipanggil"