Gema Semua Maklumat

Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan terlalu ‘China’

Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan terlalu ‘China’

BENTONG, 22 Zulkaedah 1438H, Selasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 9 Ogos lalu di Kuantan kelihatan terlalu ‘China’.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, sepanjang laluan ke projek ECRL yang merupakan salah satu projek terbesar di bawah program One Belt One Road (Obor) China itu, hanya bendera bertulisan Bahasa Mandarin kelihatan.

Lebih malang lagi, katanya, tiada satu pun bendera Malaysia kelihatan di sepanjang jalan majlis berkenaan.

“Perkasa sangat kecewa identiti negara hilang pada majlis tersebut. Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin. Satu bendera Malaysia pun tak ada. Apakah tidak dibenarkan Jalur Gemilang diletak atau digantung untuk majlis tersebut?

“Lebih mendukacitakan apabila pengacara majlis juga berbahasa Mandarin yang kemungkinan dibawa dari China. Perkasa kecewa kerana inilah permulaan penafian Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bahkan, Syed Hassan berkata, lori dan jentera berat yang digunakan di dalam projek berkenaan juga turut dibawa dari China.

“Perkasa mahu tahu apakah pemandu lori dan pengendali mesin-mesin khas untuk pembinaan laluan kereta api itu juga dari negara China? Jika benar, apakah rakyat tempatan tidak mampu memandu atau mengendalikannya dan berapa ramai pekerja dari Tanah Besar China akan dibawa masuk untuk bekerja di projek ECRL ini,” katanya.

Mengulas perkara sama, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, orang ramai yang memandang remeh isu ini menunjukkan sikap tidak peduli mengenai kedaulatan negara atau tidak memahami ertinya.

“Tentu ada orang akan mengatakan bahawa isu penggunaan bahasa Cina (Mandarin) yang begitu ketara di upacara pecah tanah ECRL di Pahang baru-baru ini sengaja diperbesar-besarkan.

“Tak tahulah saya mungkin sudah ada orang di Malaysia ini, sama ada warganegara atau pendatang, yang tidak lagi berasa perlu menghormati bahasa kebangsaan. Saya tak terkejut kalau ada orang macam itu.

“Sekalipun kita mengakui bahawa majlis itu menggabungkan Malaysia dan China dan bahasa kedua-dua buah negara perlu diberi tempat, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menonjolkan Mandarin seolah-olah ia setaraf dengan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, meskipun majlis pecah tanah itu sangat penting bagi sesetengah pihak kerana hendak memberi muka kepada China, namun itu bukan alasan untuk merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Dari aspek komunikasi dan propaganda, apa yang berlaku pada majlis itu tidaklah menguntungkan pihak terlibat. Sebaliknya panji-panji, sepanduk dan penghebahan dalam bahasa Mandarin mengalih perhatian khalayak daripada matlamat asal.

“Melainkan kita bangang, kita tentu tahu wujudnya sensitiviti dalam kalangan sebahagian besar masyarakat kita terhadap kemunculan China sebagai kuasa ekonomi yang dominan di Malaysia,” katanya.

The post Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan terlalu ‘China’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan terlalu ‘China’
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan terlalu ‘China’"

Back To Top