KUALA LUMPUR, 1 Zulhijjah 1438H, Rabu – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang hilang dalam perlanggaran dengan sebuah kapal dagang di perairan Teluk Ramunia, Johor pagi semalam, menjumpai satu mayat, hari ini.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata, mayat berkenaan ditemui pasukan SAR menerusi KD Handalan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3.43 petang.
“Mayat tersebut ditemui KD Handalan di sektor E pada kedudukan empat batu nautika timur Tanjung Penawar dalam perairan Malaysia. Jarak penemuan lokasi mayat adalah 7.5 batu nautika barat laut dari lokasi perlanggaran.
“Mayat tersebut dibawa ke jeti Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM Tanjung Pengelih, Johor dan pihak TLDM sudah mengaturkan penyerahan mayat kepada pihak Amerika Syarikat di KDSI. ” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zulkifili berkata, Operasi SAR akan diteruskan meskipun pada sebelah malam.
“Sektor pencarian SAR masih dikekalkan kepada dua sektor utama iaitu laut dan udara yang mana keluasan sektor pencarian laut adalah 352 batu nautika persegi, serta udara seluas 488 batu nautika persegi.
Beliau berkata, lebih 500 pegawai dan anggota pelbagai agensi negara terbabit dalam operasi itu.
Selain Maritim Malaysia dan TLDM, operasi turut disertai Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan dibantu dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat iaitu MH 60-Seahawk dan MV 22-Osprey.
Kapal pemusnah USS John S McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia kira-kira 5.40 pagi, menyebabkan 10 kelasi kapal itu hilang dan lima lagi cedera.
Kejadian berlaku di kedudukan 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia. – Bernama
The post Mayat kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat ditemui appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mayat kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat ditemui
0 Komentar untuk "Mayat kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat ditemui"