Gema Semua Maklumat

Memanipulasi kebenaran sebagai fitnah

Memanipulasi kebenaran sebagai fitnah

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, definasi fitnah ialah tuduhan (khabar, kisah, dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan lain-lain. Perkataan fitnah berasal daripada bahasa Arab, tetapi setelah dimelayukan, perkataan itu tidak lagi menepati makna asalnya.

Kebelakangan ini Pedang perasan ada sejenis permainan di kalangan orang politik, sama ada pemimpin, akar umbi atau orang upahan. Tujuannya untuk menutup mulut rakyat daripada memperkatakan atau berbincang mengenai sesuatu kebenaran.

Dituduhnya pihak ini atau pihak itu menabur fitnah untuk menjatuhkan seseorang. Difitnahnya pemimpin itu bermain politik wang, difitnahnya pemimpin itu ada skandal dengan wanita, atau skandal membabitkan berbilion-bilion ringgit.

Mereka hanya bercakap kosong tanpa mengemukakan bukti, maka itu boleh dikira sebagai fitnah. Menuduh seseorang tanpa bukti, memang fitnah. Tapi kalau boleh dikemukakan bukti lengkap berlakunya skandal itu, maka itu bukan fitnah.

Contohnya, jika ada orang beritahu “suami engkau main kayu tiga”. Tapi tidak dapat dibuktikannya atau si isteri sendiri menyiasat dan mendapati perkara itu tidak benar. Itu adalah fitnah.

Tetapi jika siasatan menunjukkan ada bukti-bukti yang menjurus kepada perlakuan tidak senonoh, rasuah, menyeleweng wang atau apa sahaja perbuatan jenayah, maka itu bukan fitnah.

Tetapi, seperti Pedang kata tadi, Pedang perasan satu permainan sekarang iaitu menjaja dan menjadikan perkataan ‘FITNAH’ untuk menutup mulut orang daripada memberitahu kebenaran dan membuatkan orang ramai, khususnya umat Islam, takut untuk bercakap sesuatu kebenaran kerana bimbang dikatakan memfitnah, sedang perkara itu betul berlaku.

Bila Pedang fikir-fikir, andai kata seseorang itu difitnah mencuri contohnya, kemudian dia menafikan yang dia mencuri, pasti akan ada orang yang berkata:

“Haish, jangan tuduh bukan-bukan. Dia tak curi wang berbilion tu. Dia baik, … Jangan cakap benda yang tak betul sebab nanti jadi fitnah dan sia-sia saja, kalau bercakap tapi dapat dosa fitnah, sebaiknya diam.”

Memanglah untuk mempercayai sesuatu berita atau gosip yang kita dengar, kita kena siasat dahulu.

Tugas Pedang menyampaikan sesuatu berita, bukan sebar fitnah. Apa yang disiarkan adalah kenyataan atau cerita yang disampaikan. Orang nak percaya atau tidak terpulang. Orang yang dengar atau baca kenalah siasat kalau nak percaya.

Apa yang Pedang tulis juga berdasarkan fakta yang dibentangkan oleh penyiasat mereka. Agensi siasatan, contohnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS), menerima sesuatu maklumat berhubung kes rasuah, salah guna kuasa, menggelapkan wang, menyeleweng atau mencuri wang, atau apa saja yang berkaitan jenayah.

Penyiasat merekalah yang menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada maklumat itu fitnah atau tidak. Siasat punya siasat, DoJ dapati ada kebenaran maklumat itu dan buat keputusan untuk ambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Penyiasat mereka siap membentangkan bagaimana wang 1MDB diselewengkan dari satu akaun ke satu akaun yang akhirnya berhenti di dalam akaun Malaysia Official 1. Jika sudah ada segala bukti, ia tidak menjadi fitnah.

Begitu juga bila SPRM terima maklumat mengenai kes-kes Felda dan anak syarikatnya. Setelah siasatan dijalankan, maklumat diterima ada kebenaran dan tangkapan dilakukan. Kes dibawa ke mahkamah. Memanglah orang yang dituduh tidak bersalah selagi mahkamah tidak mengatakan dia bersalah.

Tetapi, kenapa bila SPRM siasat ada kebenaran penyelewengan dan rasuah atau salah guna dilakukannya. Bila ada bukti nyata, maka ini bukan fitnah.

Apakah SPRM tidak berasa malu atau tercabar kerana menangkap orang yang kemudiannya didapati tidak bersalah oleh mahkamah? Sedangkan di atas kertas siasatan agensi itu memang didapati bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad adalah suspek dalam kes pembelian hotel-hotel di London dan Kuching.

Atau kenapa diwujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langlah Khas) 2012 (SOSMA), yang membolehkan penahanan dilakukan tanpa perbicaraan? Tentulah, orang yang ditangkap itu melakukan kesalahan.

Keputusan tidak bersalah dibuat oleh hakim dengan bijaksana berdasarkan hujah-hujah peguam bela. Dan, kadang kala hakim juga terkhilaf dalam membuat keputusan. Keputusan Mahkamah Majistret pernah khilaf, begitu juga Mahkamah Tinggi.

Apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, ia menunjukkan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf.

Apabila Mahkamah Persekutuan pula membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan, ia menunjukkan hakim Mahkamah Rayuan pun terkhilaf juga. Hakim adalah manusia biasa, bukan maksum. Sudah pasti melakukan kesilapan ketika membuat keputusan.

Bolehkah kita kata Lembaga Disiplin UMNO melakukan fitnah dengan menjatuhkan Isa Samad bersalah kerana mengamalkan politik wang (memberi atau menerima wang untuk kepentingan politik)? Kes itu tidak dibawa ke mahkamah untuk diputuskan. Isa Samad kata itu semua fitnah yang hendak menjatuhkannya.

Pemimpin lain juga akan kata, itu adalah fitnah untuk menjatuhkannya daripada menguasai sesuatu persatuan, agensi kerajaan, parti politik, jawatan menteri dan lain-lain.

Penyokong-penyokong mereka, tidak kira individu, penulis atau media massa, digerakkan supaya mengingatkan dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah.

Orang kafir tidak peduli, tapi orang Islam akan takut untuk memperkatakan hal-hal yang ‘bau busuk tidak berbangkai’. Maka, mereka pun diam.

Sedangkan, bukti sudah dibentang di depan mata, bagaimana wang rakyat bergerak dari satu akaun ke satu akaun lain dan berhenti dalam akaun seseorang. Dari mana bukti itu diperoleh, tentulah melalui siasatan.

Rakyat tahu bahawa apabila menyimpan wang dalam bank mesti ada catatannya. Ada resit simpanan, jumlah disimpan, dari mana punca wang itu, semuanya dicatatkan dalam data maklumat bank.

Itulah bukti-buktinya yang menjadikan sesuatu cerita itu bukan fitnah. Orang yang dituduh melakukan kesalahan itu kini berusaha menanam dalam fikiran rakyat bahawa apa yang dikatakan terhadap dirinya adalah fitnah semata-mata, sedangkan dia gagal memberi bukti bagi menyangkal tuduhan itu.

Contohnya, laporan Ketua Audit Negara yang mengaudit kira-kira jabatan atau agensi tertentu, yang kemudian diklasifikasikan sebagai rahsia besar diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi, yang menghalang sesiapa sahaja daripada mendedahkannya.

Kenapa tidak dibentangkan sahaja kepada umum supaya menjadi bukti yang akan menyangkal tuduhan yang dikatakan fitnah itu?

Demikianlah, sekarang ini apabila kita memperkatakan sesuatu yang telah dibuktikan, maka mereka akan berkata itu semua fitnah semata-mata. Mereka menggunakan perkataan fitnah untuk menutup mulut rakyat, khususnya orang Islam.

Lalu mereka pun menjadikan ayat 191 surah al-Baqarah yang bermaksud “…dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…” sebagai benteng untuk menafikan kebenaran.

Kata Pedang: Hujan ribut mencuci kain, belum kering bertolak ke tanah; bila tuan sedang bermain, kamilah pula kena fitnah.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Memanipulasi kebenaran sebagai fitnah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Memanipulasi kebenaran sebagai fitnah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Memanipulasi kebenaran sebagai fitnah"

Back To Top