Gema Semua Maklumat

Lelaki berjalan kaki setahun sudah sampai Makkah

Lelaki berjalan kaki setahun sudah sampai Makkah

MAKKAH, 7 Zulhijjah 1438H, Selasa – Sepenuh harapan kepada Allah, Mochammad Khanim Setiawan bersyukur perjalanannya ke Makkah untuk menunaikan haji dipermudahkan selepas berjalan kaki sejauh 9,000 kilometer dari Jawa Tengah, Indonesia.

Mengambil masa 12 bulan, Mochammad Khanim memulakan perjalanan pada 28 Ogos tahun lalu, kini dia sudah berada di Makkah.

Lelaki berusia 29 tahun ini memberitahu, dalam perjalanannya sebelum ini dia hanya membawa sebuah beg, senaskhah al-Quran, beberapa helai baju, dua pasang seluar dan kasut, stokin, pakaian dalam, beg tidur dan sebuah khemah, lampu suluh, telefon bijak, bendera mini Indonesia, GPS dan sedikit wang.

Menceritakan kisah perjalanannya Khanim berkata, dia memakai t-shirt tertera tulisan ‘Saya dalam perjalanan untuk ke Makkah dengan berjalan kaki dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah’.

“Setiap hari saya akan berpuasa dan memilih untuk berjalan pada sebelah malam. Saya berehat di masjid-masjid, bangunan awam, rumah penduduk tempatan atau kawasan perhutanan di negara yang dikunjungi.

“Apabila sihat, saya dapat berjalan 50 kilometer. Jika sakit-sakit pada bahagian lutut, saya hanya mampu berjalan 10 hingga 15 kilometer sehari. Saya pernah jatuh sakit sebanyak dua kali sepanjang perjalanan, semasa berada di Malaysia dan India.

“Cabaran lain, saya pernah tiga kali bertembung dengan ular berbisa di hutan Malaysia. Namun mujur, sebelum diggigit, ular tersebut jatuh dan mati,” katanya.

Jelas Khanim, dia begitu bersungguh-sungguh untuk berjalan kaki ke Makkah bukan kerana kekurangan wang, malah dia akui memiliki perniagaan yang baik di Indonesia.

“Saya percaya menunaikan haji bukan sekadar menunjukkan perpaduan dalam kalangan saudara Muslim. Cara saya menunjukkan ketakwaan saya kepada Allah adalah dengan mempelajari tentang Islam dari pelbagai ulama Islam dan bertemu dengan orang dari agama lain untuk mempelajari budaya mereka serta menggalak sikap bertolak ansur,” katanya.

The post Lelaki berjalan kaki setahun sudah sampai Makkah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Lelaki berjalan kaki setahun sudah sampai Makkah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Lelaki berjalan kaki setahun sudah sampai Makkah"

Back To Top