Gema Semua Maklumat

Mengingati hari Masjidil Aqsa dibakar ekstremis Kristian

Mengingati hari Masjidil Aqsa dibakar ekstremis Kristian

Kebakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 yang dilakukan ekstremis Kristian Australia. – Gambar Wikipedia

BAITULMAQDIS, 28 Zulkaedah 1438H, Selasa – Hari ini, 40 tahun yang lalu, ekstremis Kristian dari Australia, Denis Michael Rohan, mencetuskan kemarahan apabila membakar Masjid Al-Aqsa, yang terletak di Timur Jerusalem.

Dalam kenyataan berasingan sempena mengingati serangan itu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah), mengutuk sejarah kebencian yang berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan masjid suci ketiga umat Islam itu.

Sehubungan itu, kedua-dua pergerakan yang mewakili rakyat Palestin – tetapi mempunyai pengaruh dan penguasaan kawasan berbeza – menggesa bangsa Arab dan umat Islam seluruh dunia, bersama komuniti antarabangsa yang lain, untuk sama-sama berganding bahu bagi menamatkan kependudukan rejim Israel ke atas Timur Jerusalem, amnya dan Masjid Al-Aqsa, khususnya.

“Sebagai entiti yang menduduki, Israel tidak mempunyai hak kedaulatan ke atas Timur Jerusalem, termasuk Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekelilingnya.

“Jerusalem, termasuk Al-Aqsa adalah bahagian penting tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel pada 1967,” kata Fatah yang berpangkalan di Tebing Barat dalam satu kenyataan.

Bagi Hamas pula, tindakan rejim Zionis menceroboh tanah suci, merosakkan masjid dan berterusan menggali terowong di bawah Masjid Al-Aqsa adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Dalam kenyataannya, Hamas memuji kecekalan hati rakyat Palestin berdepan dengan komplot ekstremis Zionis yang menguasai kerajaan Israel.

“Jenayah yang dilakukan oleh Zionis dan tindakan berterusan ke atas rakyat dan tanah Palestin, serta masjid suci, hanya memperkukuhkan keazaman kita untuk menolak Zionis,” kata Hamas.

Dalam kejadian pada 21 Ogos 1969 lalu, Rohan melakukan serangan dengan api hingga merosakkan beberapa bahagian masjid, termasuk mimbar kayu dan gading berusia lebih 1,000 tahun yang dibina bagi meraikan kejayaan Saladin merampas Baitulmaqdis daripada tentera salib.

Kebakaran itu juga turut memusnahkan mihrab Khalifah Omar bin al-Khattab, selain sebahagian besar hiasan dalaman serta kubah kayu.

Dua hari selepas serangan itu, Rohan ditangkap oleh pihak berkuasa Israel yang kemudiannya mendakwa lelaki itu mempunyai masalah mental, dan menghantarnya pulang ke Australia.

Berikutan insiden itu, negara-negara Islam menubuhkan Persidangan Kerjasama Islam yang kemudian ditukar nama kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pada 15 September 1969, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai Resolusi 271, yang mengutuk serangan ke atas masjid itu dan mengkritik kerajaan rejim Israel kerana gagal menghormati keputusan PBB. – Agensi

The post Mengingati hari Masjidil Aqsa dibakar ekstremis Kristian appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mengingati hari Masjidil Aqsa dibakar ekstremis Kristian
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Mengingati hari Masjidil Aqsa dibakar ekstremis Kristian"

Back To Top