KUALA LUMPUR, 29 Zulkaedah 1438H, Selasa – Bukit Aman mendedahkan penyertaan anggota baharu dalam kumpulan pengganas IS di Malaysia berkurang selepas kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengambilan anggota IS di negara ini berkurang sejak berita kematian Muhammad Wanndy pada April lalu.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa kumpulan pengganas itu tidak aktif merekrut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mei lalu, polis mengesahkan kematian Muhammad Wanndy selepas terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April 2017.
Kematian Wanndy di pekan Ma’adan di daerah Raqqa mula dilaporkan susulan pengumuman oleh isterinya, Nor Mahmudah Ahmad, di laman Facebook 29 April lalu.
Dia sebelum ini dilaporkan berkait dengan serangan bom tangan di kelab Movida, Puchong pada 28 Jun tahun lepas, dikatakan serangan pertama IS di Malaysia.
Polis menamakan Wanndy sebagai lelaki yang memberikan arahan untuk menjalankan serangan itu.
Dalam perkembangan lain, Ayob turut mengesahkan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung beberapa tangkapan dibuat membabitkan suspek pengganas, namun katanya butiran lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan kemudian.
“Kita tetap berjaga-jaga, terutamanya sepanjang temasya Sukan SEA berlangsung,” katanya.
The post Keanggotaan baharu IS berkurangan sejak kematian Muhammad Wanndy appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Keanggotaan baharu IS berkurangan sejak kematian Muhammad Wanndy
0 Komentar untuk "Keanggotaan baharu IS berkurangan sejak kematian Muhammad Wanndy"