KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1438H, Rabu – Polis menahan tiga lagi individu yang didakwa terlibat dalam kekecohan pada program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan kepada 13 orang setakat hari ini.
“Kita sedang memberi tumpuan untuk menyiasat kekecohan di forum itu. Mereka yang menyebabkan masalah itu tidak akan terlepas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Khalid turut mengecam tindakan penganjur kerana menyalahkan pihak polis ekoran insiden kekecohan itu.
Merujuk Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, beliau berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan peserta dan lokasi adalah sepenuhnya diserahkan kepada penganjur.
“Tidak adil bagi mereka untuk menyalahkan polis. Mereka sepatutnya meminta nasihat kami untuk memastikan keselamatan program tersebut.
“Mereka juga perlu melarang barangan tertentu seperti suar dari dibawa masuk ke dewan,” katanya.
Ahad lalu, program Nothing To Hide 2.0 yang pada awalnya berlangsung dengan baik terpaksa disuraikan awal ekoran insiden balingan suar, botol air, kasut dan kerusi yang dituju kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Susulan itu, 10 individu ditahan termasuk tiga remaja berusia 17 hingga 19 tahun direman selama empat hari sehingga 17 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153, Seksyen 153 Kanun Keseksaan melakukan provokasi dengan niat menyebabkan rusuhan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
The post Nothing to Hide 2.0: Tiga lagi individu cetus kekecohan ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Nothing to Hide 2.0: Tiga lagi individu cetus kekecohan ditahan
0 Komentar untuk "Nothing to Hide 2.0: Tiga lagi individu cetus kekecohan ditahan"