Gema Semua Maklumat

SPRM belum putuskan keperluan beku aset Isa Samad

SPRM belum putuskan keperluan beku aset Isa Samad

KOTA BHARU, 23 Zulkaedah 1438H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memutuskan untuk membeku aset bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan reman keatasnya berhubung siasatan pembelian dua buah hotel di Britain dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap Isa kerana siasatan masih dijalankan.

“Saya tidak mengatakan dia (Isa) mengambil wang. Jangan membuat sebarang andaian,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mahkamah hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman Isa selama lima hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bertaraf empat bintang di Kensington, London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corp (FIC).

Beliau yang juga bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.

Isa ditangkap selepas memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 kepada SPRM kira-kira jam 4.24 petang semalam.

Isa adalah antara individu yang termasuk dalam senarai individu utama untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung pembelian hotel berkenaan.

Minggu lalu, tiga individu penting membabitkan bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid dan Datuk Dr Omar Salim serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.

Azam berkata, SPRM telah merekodkan lebih daripada 40 kenyataan dan dalam proses menghubungi beberapa lagi individu lain sebelum tindakan selanjutnya.

The post SPRM belum putuskan keperluan beku aset Isa Samad appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di SPRM belum putuskan keperluan beku aset Isa Samad
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "SPRM belum putuskan keperluan beku aset Isa Samad"

Back To Top