KUALA LUMPUR, 8 Zulkaedah 1438H, Selasa – Rapid Rail Sdn Bhd meminta jasa baik orang ramai untuk turut sama mengekang kejadian vandalisme dengan menghantar gambar dan maklum balas pengalaman perjalanan ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, pihaknya mewujudkan talian 010-7664472 untuk tujuan tersebut di mana setiap maklum balas menerusi aplikasi Whatsapp akan diuruskan sebuah pasukan perhubungan khas.
“Kami menghargai sebarang maklum balas pelanggan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kami dan melindungi aset awam yang berharga di bawah tanggungjawab kami.
“Maklum balas ini tidak kira baik atau tidak berapa baik, akan dikongsikan dengan pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Walaupun ada beratus anggota keselamatan bertugas dan ribuan CCTV dipasang, kecaman dan maklum balas orang ramai diperlukan untuk mengekang perbuatan yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular gambar beberapa kemudahan di stesen MRT dirosakkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit untuk membaiki kerosakan yang disebabkan perbuatan vandalisme itu.
The post Orang ramai diminta lapor jika berlaku vandalisme dalam tren appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Orang ramai diminta lapor jika berlaku vandalisme dalam tren
0 Komentar untuk "Orang ramai diminta lapor jika berlaku vandalisme dalam tren"