KUALA LUMPUR, 18 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mahu orang ramai membantu menyalurkan maklumat berkaitan penyebaran ateis di negara ini dalam usaha mengekang kegiatan berkenaan.
Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh berkata, mereka yang didapati menyebarkan ajaran bertentangan dengan Islam boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
“Sebagai contoh, peruntukan aspek perundangan di Wilayah Persekutuan menyebut penyebaran ajaran ateis boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Mana-mana ajaran sama ada ateis atau lain yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak diterima dalam Islam. Malah, ia juga bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Serentak itu katanya, JAWI akan memantau rapi pergerakan kumpulan itu atau mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan melanggar perundangan Islam di Malaysia, khususnya di sekitar ibu negara.
Media sebelum ini melaporkan berhubung dakwaan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’ serta didakwa mengadakan pertemuan secara tertutup di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
The post Orang ramai perlu bantu salur maklumat kegiatan ateis di negara: JAWI appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Orang ramai perlu bantu salur maklumat kegiatan ateis di negara: JAWI
0 Komentar untuk "Orang ramai perlu bantu salur maklumat kegiatan ateis di negara: JAWI"