Gema Semua Maklumat

Perutusan Ketua Pemuda Isma Bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha

Perutusan Ketua Pemuda Isma Bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha

SABAN tahun negara kita menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos bagi memperingati pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pejuang tanah air untuk membebaskan Negara daripada penjajah.

Walaupun negara kita telah merdeka, anak muda perlu sedar tentang ancaman yang masih dihadapi oleh Islam dan Melayu di tanah air ini.

Kalau dahulu, datuk dan nenek kita berjuang menentang ancaman dalam bentuk penjajahan fizikal, sekarang kita berhadapan dengan ancaman pemikiran yang boleh membawa mudharat yang lebih besar kepada agama dan bangsa terutama ancaman liberalisme dan pluralisme oleh pihak-pihak yang berselindung di sebalik hak samarata dan hak asasi manusia, walaupun jelas bertentangan dengan Perlembagaan yang mengiktiraf agama Islam dan orang Melayu sebagai penduduk asal, dengan matlamat untuk menjauhkan orang Melayu Islam terutama golongan pemuda daripada agama.

60 tahun kemerdekaan menyaksikan kemajuan fizikal dan keamanan yang dinikmati oleh seluruh rakyat.

Malangnya, nikmat keamanan dan kesenangan hasil pengorbanan dan perjuangan pejuang terdahulu telah menyebabkan ramai anak muda menjadi lalai dan leka, lupa akan tanggungjawab mempertahankan agama, tanah air dan bangsa.

Daripada berjuang melawan penjajah bertukar menjadi “ayam bandar” yang lembik mental dan fizikal, hilang kejantanan dan sifat keperwiraan yang sepatutnya ada dalam diri seseorang anak muda.

Hari Raya Aidiladha, perayaan umat Islam yang begitu sinonim dengan semangat pengorbanan dan perjuangan, akan disambut sehari selepas Hari Merdeka pada tahun ini.

Sambutan perayaan yang sangat tepat pada masa dan situasi keadaan umat Islam di tanah air ini, yang sarat dengan pengajaran yang berguna untuk generasi muda.

Anak muda perlu mengambil pengajaran daripada semangat pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam mentaati arahan Allah yang Esa walaupun di dalam perkara yang melibatkan nyawa – sanggup berjuang dan berkorban kerana jelas dengan agenda iaitu melaksanakan tuntutan Allah dalam keadaan suka atau tidak.

Dalam masa yang sama, pemuda perlu memusatkan segala usaha dalam memperkasa jatidiri Islam dan membentuk keperibadian yang jantan dan matang dalam menangani ancaman luar.

Keperibadian yang lasak yang tak mudah menyerah kalah dan sanggup bersusah payah dalam mempertahankan agama dan bangsa, gagah dan berani berhadapan dengan musuh dan ancaman fizikal mahupun pemikiran, dan terampil dalam memimpin generasi muda dan negara.

Ayuh, bangkitlah pemuda. Kitalah pewaris perjuangan datuk nenek kita. Kitalah harapan agama dan bangsa!

Allahu akbar, walillahil hamd
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

 

Muhammad Farid Hussein
Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia

The post Perutusan Ketua Pemuda Isma Bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Perutusan Ketua Pemuda Isma Bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Perutusan Ketua Pemuda Isma Bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha"

Back To Top