PUTRAJAYA, 15 Zulkaedah 1438H, Selasa – Tatkala gesaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB yang kehilangan berbilion-bilion ringgit, tidak dipedulikan, RCI siasatan kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) oleh Bank Negara sekitar 1980-an dan 1990-an mula bersidang hari ini.
Prosiding RCI Forex bermula jam 9.35 pagi tadi dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, manakala Datuk Suhaimi Ibrahim bertindak sebagai pegawai pengendali.
Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan pada 15 Julai 2017 lalu dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Antara individu yang menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berhad, Datuk Tajuddin Atan; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, S.A.K Pushpanathan.
Peguam R Sivarasah mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (menteri kewangan ketika itu), sementara Mohamed Haniff Khatri bertindak sebagai peguam pemerhati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Manakala, Tan Hock Chuan pula bertindak sebagai pemerhati untuk Bank Negara.
Panel suruhanjaya menetapkan 10 hari bermula 21 Ogos ini bagi prosiding siasatan.
Pelbagai pihak sebelum ini menganggap penubuhan RCI Forex itu semata-mata bertujuan menunjukkan kesalahan yang dilakukan Dr Mahathir, setelah beliau menjadi pengkritik hebat Datuk Seri Najib Razak, terutama berkaitan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan kehilangan wang 1MDB.
Dr Mahathir yang berpatah arang dengan Najib berikutan pelbagai isu pentadbiran Perdana Menteri itu turut menuduh Najib sebagai pencuri dan mesti dijatuhkan.
Skandal kewangan 1MDB yang dianggap terbesar dalam sejarah negara, menarik perhatian beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland untuk menjalankan siasatan.
Jabatan Keadilan (DoJ) AS turut memfailkan saman sivil pelucutan hak terhadap aset beberapa individu termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz dan kenalan rapatnya, Jho Low, kerana dikatakan dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.
Malah, Singapura yang juga menyiasat kes 1MDB telah mendakwa dan menghukum individu tertentu.
Berikutan skandal besar itu, pelbagai pihak mendesak sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes 1MDB, tetapi kerajaan tidak mempedulikannya, sebaliknya menubuh RCI menyiasat kerugian Forex pada masa pemerintahan Dr Mahathir.
The post RCI kerugian Forex mula bersidang hari ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di RCI kerugian Forex mula bersidang hari ini
0 Komentar untuk "RCI kerugian Forex mula bersidang hari ini"