Gema Semua Maklumat

RUU tukar agama anak ditarik balik

RUU tukar agama anak ditarik balik

KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1438H, Isnin – Kerajaan hari ini menarik Rang Undang-undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) ketika ia berada di peringkat bacaan kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa ia ditarik balik.

RUU berkenaan disenaraikan pada nombor ke-10 dalam kertas aturan mesyuarat hari ini.

Pindaan ke atas akta itu dibuat bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral (persetujuan sebelah pihak).

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada November tahun lalu dan ditangguhkan untuk kali kedua hari ini.

Kali pertama ia ditangguhkan di peringkat bacaan kedua ialah pada 6 April lalu.

Pindaan Akta 164 yang diusulkan dalam bacaan kali pertama oleh Azalina menyatakan agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seorang daripada mereka memeluk Islam, kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

Menerusi pindaan akta itu yang terkandung dalam Seksyen 88A (seksyen baharu), penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan ibu bapa anak terbabit.

Pindaan itu juga mewujudkan seksyen baharu iaitu 51A yang menetapkan jika seorang daripada pasangan memeluk Islam dan meninggal dunia sebelum perkahwinan mereka dibubarkan, mahkamah berkuasa membahagikan aset perkahwinan pasangan terbabit.

Pasangan bukan Islam turut mempunyai hak memfailkan perceraian di mahkamah sivil dan menuntut nafkah, hak jagaan anak, pembahagian aset perkahwinan.

Isu ini telah menerima banyak kritikan serta kecaman dari pelbagai pihak termasuk Isma kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga mengambil hak umat Islam untuk mengamalkan agama Islam di negara ini.

Ia juga bertentangan dengan keputusan majlis fatwa yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak.

 

Akta 164: Kalau cakap mufti pun kerajaan tolak…

The post RUU tukar agama anak ditarik balik appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di RUU tukar agama anak ditarik balik
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "RUU tukar agama anak ditarik balik"

Back To Top