Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 2 Zulhijjah 1438H, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah disebabkan ketidakmampuan kerajaan hari ini untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju.
Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, tempoh yang ditentukan dalam agenda TN50 adalah jauh daripada sekarang, dan penciptanya percaya bahawa mereka tidak perlu menjawab apabila ia gagal dicapai menjelang tahun 2050 nanti.
TN50 merupakan inisiatif pembangunan negara merangkumi tahun 2020 hingga 2050, yang akan dipacu oleh matlamat dan sasaran selama 30 tahun.
Ia akan dibangunkan melalui proses perundingan dalam fasa persediaan dari tahun 2017 hingga 2019 sebelum digariskan dalam dokumen dasar TN50 yang bakal diterbitkan pada awal 2020.
Bercakap lanjut mengenai dasar baharu itu, Dr Mahathir berkata, ia adalah usaha kerajaan supaya rakyat melupakan Wawasan 2020 yang diilhamkannya pada tahun 1991 untuk negara mencapai status sebuah ekonomi yang matang dan maju menjelang tahun tersebut.
Ini kerana katanya, kerajaan hari ini tidak mungkin dapat mencapai wawasan itu, malah kewujudan TN50 juga dianggap untuk mengalih perhatian kepada sesuatu yang akan berlaku selepas sebahagian daripada rakyat Malaysia sudah tiada.
“Inilah cara mengaburi mata rakyat. Kita dapati asas-asas pertumbuhan ekonomi di masa kita lancarkan Wawasan 2020 lebih baik supaya ia dapat dicapai pada waktu ini (menjelang 2020).
“Tetapi kita dapati, di waktu ini kita hanya akan warisi hutang yang begitu besar sehingga selama 50 tahun, kita tidak dapat membuat apa-apa melainkan mencari wang untuk membayar hutang.
“Jadi tumpuan wang itu untuk pembangunan negara terjejas kerana dalam masa itu kewangan negara tetap akan menjadi halangan yang tinggi untuk menjayakan negara.
“Hari ini dianggarkan hutang negara meningkat hampir AS$1 trilion, atau RM1,000 bilion atau pun RM100,000 juta,” katanya dalam wawancara program sayap Srikandi Bersatu dengan beliau, hari ini.
The post Tak mampu capai Wawasan 2020 wujudkan TN50: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tak mampu capai Wawasan 2020 wujudkan TN50: Tun M
0 Komentar untuk "Tak mampu capai Wawasan 2020 wujudkan TN50: Tun M"