Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 29 Zulkaedah 1438H, Selasa – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat beberapa isu lama ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, hanya bertujuan politik semata-mata.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berpendapat, isu kerugian akibat urus niaga mata wang asing (Forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1990-an dan insiden Memali 1985 yang hangat dibangkitkan hari ini, sebagai satu pukulan kuat untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan merupakan gabungan baharu pembangkang menggantikan pakatan rakyat membabitkan kerjasama di antara PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang dipengerusikan Dr Mahathir.
Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi penentang utama kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, berikutan pelbagai skandal yang melingkari negara ketika ini, terutama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Abdullah Zaik berkata, siasatan terhadap dua isu besar itu bukan sahaja secara tidak langsung menjadi senjata untuk menyerang Dr Mahathir, tetapi juga menyasarkan parti lain dalam gabungan pembangkang.
“Mereka dilihat hanya bersatu untuk politik, tetapi saling tidak bersetuju antara satu sama lain berkaitan isu berkenaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Isma, katanya, akan terus berdiri atas prinsip dan dasar sebagai sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
Mengulas lanjut berhubung siasatan RCI Forex itu, beliau berkata, ia lebih kepada kewujudan persepsi, yang tidak membawa kepada sebarang hukuman atau mengheret pesalah ke muka pengadilan.
“Pendirian Isma, ia hanyalah permainan persepsi untuk tujuan politik dan tidak membayangkan sebenarnya Malaysia sebagai negara yang menegakkan undang-undang kerana ada isu lain yang juga besar tetapi dilindungi,” katanya.
21 Jun lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian AS$$10 bilion dalam tukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia pada 1980-an. Ketika itu, kadar tukaran ringgit ialah sekitar RM2.50 bagi satu dolar Amerika, berbanding RM4.28 sekarang ini.
Tidak berakhir setakat RCI Forex, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, kerajaan bersedia menubuhkan RCI peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 lalu, dan mendapat sokongan penuh daripada PAS.
Peristiwa Memali hangat semula ketika program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada 13 Ogos lalu, yang bertukar kecoh selepas beberapa pihak dikatakan cuba menyerang Dr Mahathir ketika soalan berhubung insiden Memali dibangkitkan.
Susulan kekecohan itu, pelbagai pihak termasuk PAS mula membangkitkan semula insiden berdarah berkenaan, termasuk mahu siasatan terhadap tragedi itu dijalankan semula.
The post Tak patut jadikan RCI alat politik: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tak patut jadikan RCI alat politik: Isma
0 Komentar untuk "Tak patut jadikan RCI alat politik: Isma"