Gema Semua Maklumat

Ummah serah memorandum bantah pindaan Akta 164 kepada kerajaan

Ummah serah memorandum bantah pindaan Akta 164 kepada kerajaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Zulhijjah 1438H, Rabu – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyerahkan memorandum bantahan terhadap Pindaan Akta 164 – Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian)1976 – kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Memorandum berkenaan diserahkan sendiri oleh Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya kepada Jamil Khir di bangunan Perkim di ibu negara, jam 4 petang semalam.

Aminuddin menerusi memorandum berkenaan berkata, Ummah menyambut baik tindakan kerajaan menarik balik cadangan untuk memasukkan Seksyen 88A Akta berkenaan kerana bertepatan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, selain hak di sisi Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12 (4).

Bagaimanapun, Ummah turut melahirkan keprihatinan terhadap beberapa pindaan lain melibatkan hal penceraian, pembahagian harta pusaka, penjagaan anak, bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah, Baitulmal dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Pindaan ini dikatakan dibuat memandangkan banyak kes-kes mahkamah yang berlaku yang menyebabkan status perkahwinan seseorang mualaf itu tergantung.

“Dengan membenarkan seseorang mualaf itu membubarkan perkahwinannya di mahkamah sivil, maka pindaan ini dilihat sebagai jalan keluar terhadap kemelut rumahtangga seseorang mualaf,” katanya.

Bahkan katanya, sebahagian pihak berpendapat bahawa pindaan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Perkara 11, memperuntukkan kebebasan mengamalkan agama secara menyeluruh.

“Ini terutamanya merujuk kepada pindaan terhadap Perkara 3(3) Akta berkenaan, yang memberikan bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah sivil dan Perkara 51(1) yang memberi hak, locus standi dan kuasa kepada seorang mualaf untuk menfailkan petisyen pembubaran perkahwinan dengan pasangannya yang bukan Islam di mahkamah sivil.

“Memandangkan terdapat dia pandangan yang berbeza dari pelbagai pihak dengan hujah-hujah yang melibatkan isu teknikal perundangan dan Perlembagaan, Ummah mengambil pendirian bahawa kelulusan pindaan ini perlu ditolak buat ketika ini bagi memberi ruang untuk isu ini diwacanakan secara lebih perinci oleh semua pihak,” katanya.

Katanya, wacana intelektual itu penting supaya persepakatan dapat dicapai oleh semua pihak sekali gus menghalang sebarang polemik yang mungkin timbul untuk memecahbelahkan kaum dan agama.

Malah, Ummah turut berpendapat bahawa tiba masanya untuk ruang lingkup kuasa mahkamah sivil dan Syariah diselaraskan.

“Justeru, Ummah mengambil pendirian dan mencadangkan untuk penyelesaian muktamad permasalahan tindanan bidang kuasa yang telah menghantui sistem keadilan sejak sekian lama, satu jawatankuasa diraja ditubuhkan untuk mengkaji seluruh aspek isu termasuk cadangan penubuhan Tribunal Tindanan Bidangkuasa.

“….di mana sejumlah tiga hingga lima pakar, termasuk sekurang-kurangnya seorang pakar agama untuk membuat syor dan cadangan-cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, seterusnya dibentangkan untuk digubal undang-undang termasuk pindaan yang perlu kepada Perlembagaan,” katanya.

The post Ummah serah memorandum bantah pindaan Akta 164 kepada kerajaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ummah serah memorandum bantah pindaan Akta 164 kepada kerajaan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ummah serah memorandum bantah pindaan Akta 164 kepada kerajaan"

Back To Top