Gema Semua Maklumat

Apa yang berlaku: Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang

Apa yang berlaku: Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang -
Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang, apa yang berlaku?
SIVARAJAN  -  September 29, 2017 12:26 pm

Tanah siapa?

Tanah tersebut didaftarkan sebagai hakmilik tanah persekutuan tetapi diberi pajakan 60 tahun kepada sebuah entity swasta iaitu Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Adakah Abd Razak dan Yaakob ini penceroboh?

Tidak, Masjid Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) ini dibina dengan mengumpul dana dari pekerja airport pada tahun 1990an untuk kemudahan pekerja muslim menunaikan sembahyang mereka.

Setelah masjid ini dibina, Abd Razak dan Yaakob ini telah berkhidmat dengan masjid. Mereka disuruh mendirikan rumah diperkarangan masjid pada sekitar tahun 1996. Mereka berdua membina rumah dengan duit mereka sendiri. Nazir masjid pada ketika itu telah memberikan kebenaran dan Razak juga telah dilantik sebAgai bilal masjid.

Sampai sekarang bekalan elektrik dan air adalah dibekalkan oleh masjid ini, dan mereka berdua membayar sewa untuk kemudahan ini. Jadi macam mana boleh dipanggil penceroboh?

Pejabat Tanah dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kata, rumah mereka tidak dalam perkarangan masjid? Sehingga sekarang pagar yang mengelilingi masjid masih wujud dan mengelilingi rumah-rumah mereka. Jelas sekali mereka duduk dalam perkarangan masjid. Jarak rumah dengan masjid tidak sampai 50 meter pun.

Kenapa timbul masalah sekarang?

Apabila Jais mengambil alih masjid tersebut setahun lebih, maka mereka berdua diberhentikan. Pengurusan masjid ditukar. Jais kini memutarbelitkan fakta dengan mengatakan kuarters mereka bukan dalam sempadan perkarangan masjid. Ini merupakan suatu pembohongan. Mereka syaki, Pejabat Tanah, Jais dan MAHB bersekongkol membuat peta tapak masjid yang baru dan menyingkirkan kuarters dengan sengaja dari peta. Perbuatan sedemikian berniat jahat agar Razak dan Yaakob boleh digelar sebagai penceroboh!

Kenapa mereka diusir sekarang?

Pihak MAHB ingin melaksanakan suatu projek persendirian iaitu Subang Aerospace Technology Park di kawasan ini, maka mereka mengusir Razak dengan Yaakob. Projek ini semestinya menguntungkan pihak MAHB dengan lumayan.

Kalau ianya projek MAHB, swasta bagaimana pula dia guna jentera Kerajaan dan Penguatkuasa Pejabat Tanah Petaling, Selangor?

Inilah persoalan yang diungkitkan oleh Razak dan Yaakob! Mengikut undang-undang, jika pihak swasta hendak mengusir setinggan atau penghuni premisnya, maka dia perlu melalui proses Mahkamah dan perbicaraan penuh. Dalam bicara itulah hakim dapat menilai justifikasi bahawa mereka ini bukan penceroboh tetapi telah menduduki tanah itu dengan kebenaran selama 20 tahun lebih. Maka, hanya dengan perintah mahkamah lah, sesebuah pihak swasta dapat mengosongkan tanah yang dipajaknya .

Dalam isu pegawai masjid ini apa berlaku?

MAHB nak gunakan jalan pintas, maka walaupun MAHB sebagai pihak swasta yang memajak tanah itu selama 60 tahun, dan mempunyai segala hak untuk mengurus dan membangunkan tanah tersebut dalam tempoh pajakan, tetapi ‘memperalatkan’ Pejabat Tanah Petaling untuk membuat kerja kotor mereka mengusir dan meroboh! Pejabat Tanah mengunakan kuasanya dibawah Kanun Tanah Negara, Seksyen 425 untuk mengusir dan meroboh rumah dan kedai Razak dan Yaakob.

Apa yang Seksyen 425 Kanun Tanah Negara sebut?

Sek 425: Pendudukan secara tidak sah, tanah Kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

1) Mana-mana orang yang tanpa kebenaran yang sah;

a) Menduduki atu membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah Kerajaan, tanah rizab atau perlombongan… melakukan kesalahan…

Maka, tidak betul ianya digunakan terhadap dua pegawai masjid yang telah menerima kebenaran oleh masjid dan direstui oleh MAHB (pada ketika itu Department of Civil Aviation, DCA) sejak 1996 untuk membina rumah dan berkhidmat dengan masjid.

Sudahkah mereka meminta bantuan Kerajaan Negeri Selangor?

Razak dan Yaakob telah menghantar surat bertarikh 22hb. November 2016, 7hb. Mac 2017 dan sekali lagi pada 8hb. September 2017 mengenai tindakan pengusiran oleh MAHB melalui penguatkuasa Pejabat Tanah Daerah Petaling terus kepada YAB Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor. Malangnya pejabat MB lepas tangan dan menyuruh kami menghubungi Jais. Apabila hubungi Jais, mereka juga katakan kita ini duduk di luar kawasan masjid!

Sehingga kini tidak ada apa jua tawaran penempatan semula kepada kami oleh Kerajaan Negeri Selangor. Masa zaman Khir Toyo pun, setinggan ditawarkan rumah sebelum rumah mereka diroboh. Walhal kami yang asal menduduki kawasan masjid dan berkhidmat dengan masjid kini tidak terbela!

Apa permintaan Abd Razak dengan Yaakob?

1. Oleh kerana tanah yang mereka duduki ini dipajak kepada pihak swasta MAHB dan akan digunakan untuk projek kepentingan swasta, maka pihak Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah Petaling tidak harus melibatkan diri dalam perobohan ini.

2. Isu ini harus dibawa ke Mahkamah melalui perbicaraan penuh, mengikut undang-undang, iaitu pihak swasta hanya boleh memperolehi pemilikan kosong melalui perintah mahkamah selepas perbicaraan, bukannya jalan pintas Seksyen 425, Kanun Tanah Negara.

3. Rumah ganti kepada rumah yang akan dirobohkan ataupun pampasan yang setimpal untuk mendapatkan/menyewa sebuah rumah dan kedai alternatif di kawasan Subang atau Shah Alam yang berhampiran.

4. Ganti rugi kehilangan sumber pendapatan untuk Razak dan Yaakob sekeluarga, sehingga lokasi perniagaan dimulakan, selepas mengosongkan premis sekarang.

5. Tempoh pemindahan yang munasabah iaitu dua bulan.

* Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).


Apa yang berlaku: Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang merupakan Entri ulangsiar. Credit kepada sumber asal di Apa yang berlaku: Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "Apa yang berlaku: Pengusiran paksa pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang"

Back To Top