Gema Semua Maklumat

Better Beer Festival 2017 – Pesta arak ala-Oktoberfest kembali lagi!

Better Beer Festival 2017 – Pesta arak ala-Oktoberfest kembali lagi!

PESTA pemabukan arak di atas telah diadakan pertama kalinya pada tahun 2012 – sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih kurang hanya 200 orang pengunjung.

Pada tahun lepas (2016), pesta ini diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak. Jumlah kehadiran – 3500 hadir.

Pada tahun 2017 pula, penganjur akan membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat/pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung. Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Germany, Denmark, Norway, Japan, Thailand dan Vietnam.

Penganjur sasarkan kehadiran 6000 orang pengunjung untuk tahun ini.

Penganjur merasa bangga dua pengusaha arak dari Thailand, Sandport dan Happy New Beer akan hadir. Mereka akan bercakap mengenai kesusahan menjalankan aktiviti tersebut yang diharamkan di Thailand.

Penganjur juga akan bekerjasama dengan Uber melalui pelancaran kempen ‘Don’t Drink & Drive’ di Pesta tersebut, dimana para pengunjung akan menerima kod pengangkutan Uber mereka untuk pergi balik ke pesta tersebut.

Syarat-syarat kemasukan tidak pula menyebut larangan ke atas orang-orang Islam.

Pesta arak Better Beer kali ini akan diadakan di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober 2017.
Ini merupakan tahun keenam pesta di atas diadakan.

Oktoberfest telah dihidupkan kembali!
********************
Pada tahun 2014, saya telah menulis satu rencana yang kemudiannya disiarkan di ismaweb melalui pautan berikut: http://www.ismaweb.net/2014/10/daps-support-for-oktoberfest-whats-the-agenda/

Dalam pesta tahun 2014 tersebut, ramai pemimpin DAP turut hadir. Ada juga diantara mereka yang turut mempromosikan kehadiran mereka dengan perasaan bangga dan gembira.

Adakah pada kali ini para pemimpin parti rasis cauvinis itu akan datang juga untuk meraikan dan menghidupkan amalan buruk masyarakat Jahiliyah?

Kehadiran mereka yang pertama kali secara terbuka pada tahun 2014 adalah satu testimoni kuat bahawa pemabukan arak ini sudah sebati dengan anggota masyarakat yang menganggapnya sebagai satu simbol status seseorang itu.

Isyarat yang mereka cuba sampaikan adalah bahawa amalan peribadi mereka tidak ada kena mengena dengan kelayakan mereka memimpin negara. Parti politik mereka masih boleh dipercayai oleh umat Islam dan boleh diyakini untuk menjaga kepentingan umat islam juga.

Boleh percayakah kita kepada parti rasis cauvinis DAP seperti ini?

Saya pasti ramai yang akan mengecam bantahan terhadap penganjuran pesta arak ini. Alasan-alasan seperti:

Hormati hak asasi individu, tidak kena-mengena dengan orang Islam, jangan ekstrim atau melampau, pesta ini dibuat secara tertutup, sudah mendapat permit dan kelulusan, Malaysia bukan negara Islam dan seumpamanya sudah biasa diberikan.

Yang belum dengar lagi ialah alasan bahawa Islam menghormati kemuliaan insan dan pemabukan arak adalah salah satu manifestasi sifat rahmatan lil alamin yang diiktiraf ke atas anggota masyarakat yang not-yet-Muslim.

Saya juga tidak akan terkejut kalau akan kedengaran suara-suara sumbang dari segelintir masyarakat Islam atau aktivis-aktivis Islam yang akan mempertahankan amalan masyarakat Jahiliyah ini.

Dari 200 orang hingga ke sasaran 6,000 orang pengunjung.  Apa petandanya ini?

Sebagaimana yang diakui secara tidak langsung oleh penganjur, aktiviti ini diharamkan di Thailand, jiran terdekat negara kita. Mereka terpaksa datang ke negara kita untuk mempromosikan keunikan pembuatan arak yang diharamkan di negara mereka sendiri!

Sekiranya ada suara yang mempertahankan pesta ini dan mempertikaikan kewujudan kilang-kilang arak yang besar dan kecil dan bersepah di negara ini, ia tetap bukan satu alasan untuk menganjurkan pesta arak secara besar-besaran baik dalam bulan mana sekalipun.

Pemabukan selalu dikaitkan (secara langsung atau tidak langsung) dengan kegiatan-kegiatan jenayah yang lain seperti pergaduhan, perzinaan )termasuk perogolan), perjudian dan seumpamanya yang sangat memberi kesan kepada si peminum, keluarganya dan keutuhan sistem keluarga.

Ia juga antara punca kemalangan jalanraya, khususnya di waktu lewat malam atau awal pagi.

Kalau tidak, mengapa penganjur mengadakan kerjasama dengan pengendali Uber?

Mereka mungkin akan memberi alasan lain bahawa mereka hanyalah ‘social drinker’ yang tidak akan mabuk atau hilang kawalan minda setelah minum. Dan pelbagai alasan lagi.

Benarkah arak tidak memberi kesan ke atas minda dan tingkahlaku normal seseorang?

Dan bukankah pesta arak di atas juga terbuka kepada semua orang, termasuk orang-orang Islam?

Justeru itu, umat Islam perlu peka dan sensitif dengan penganjuran pesta arak ini, yang sekiranya tidak disekat, akan menjadi amalan tahunan dan menular kepada generasi muda-mudi Islam khususnya.

Sudahlah arak senang didapati di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya, namun menjadikan pemabukan arak sebagai satu pesta tahunan bahkan akan menjadikan masalah sosial semakin kronik.

Antara langkah berkesan yang boleh dilakukan oleh kita ialah membantah penganjuran pesta arak tersebut.

Amalan ini bukan satu ciri masyarakat bertamaddun.

Jom kita bantah beramai-ramai!

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid

The post Better Beer Festival 2017 – Pesta arak ala-Oktoberfest kembali lagi! appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Better Beer Festival 2017 – Pesta arak ala-Oktoberfest kembali lagi!
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Better Beer Festival 2017 – Pesta arak ala-Oktoberfest kembali lagi!"

Back To Top