KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1438H, Ahad – Satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di setiap negeri bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan di semua sekolah agama, sebagaimana yang diarahkan oleh Kabinet, kelmarin.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pemeriksaan itu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan asrama di sekolah atau pusat berkenaan.
“Kita akan melihat tiga aspek iaitu laluan keluar masuk, kesesakan dan keselamatan jeriji.
“Memandangkan terdapat kebimbangan mengenai kebakaran yang berpunca daripada litar pintas, kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membantu menjalankan penyambungan pendawaian semula jika diperlukan,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan awal telah dijalankan pada awal tahun ini, namun susulan kebakaran pusat tahfiz 14 September lalu, pihaknya menerima arahan baru daripada Kabinet untuk memulakan pemeriksaan mengikut garis panduan.
“Salah satu aspek, kita akan fokuskan ialah kesesuaian premis yang digunakan sebagai sekolah agama atau pusat tahfiz. Tidak semuanya sesuai. Sebagai contoh, jika ia ditukar daripada lot kedai.
“Lot kedai tidak sesuai untuk penginapan kerana keperluan keselamatan adalah berbeza, berdasarkan keupayaannya. Kita juga akan turun ke lapangan untuk memeriksa tidak kira sama ada ia berdaftar atau tidak. Sebelum ini, kami hanya memeriksa sekolah berdaftar sahaja,” katanya.
Katanya, tanpa kelulusan keselamatan dari pihak Jabatan Bomba, sekolah-sekolah berkenaan tidak akan dibenar beroperasi.
“Dan jika pentadbiran sekolah tidak bekerjasama dengan kami, kita akan menutupnya menerusi perintah mahkamah.
“Kami menggesa pengurusan sekolah agama atau pusat tahfiz supaya mengemukakan rancangan bangunan kepada kami untuk memudahkan proses pemeriksaan,” katanya.
The post Bomba tubuh pasukan petugas khas periksa keselamatan sekolah agama, pusat tahfiz appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bomba tubuh pasukan petugas khas periksa keselamatan sekolah agama, pusat tahfiz
0 Komentar untuk "Bomba tubuh pasukan petugas khas periksa keselamatan sekolah agama, pusat tahfiz"