Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 2 Muharram 1439H, Sabtu – Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas, Darul Insyirah memerlukan dana sebanyak RM800,000 bagi membina kompleks jagaan yang baharu di Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Pengerusinya, Puan Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi dalam Majlis Hi-Tea Amal bersama Syamsul Debat hari ini, berkata, dana itu akan digunakan untuk fasa pertama pembinaan kompleks tersebut.
Katanya, buat masa sekarang, Darul Insyirah masih melakukan pecutan dalam pencarian dana.
Pada masa sama, beliau berkata, Hi-Tea Amal ini diadakan bertujuan mengangkat kesedaran masyarakat Malaysia yang akan berhadapan dengan Negara Tua pada tahun 2030.
“Menurut anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia, negara akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 16 peratus penduduk terdiri daripada warga emas pada tahun tersebut.
“Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar untuk dihadapi oleh semua lapisan masyarakat. Cabaran yang bakal dihadapi tersebut perlu dirancang bermula daripada sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya tiada perancangan serta persiapan yang baik, negara akan berhadapan dengan permasalahan dalam masyarakat seperti masalah ketidakupayaan fizikal dan mental warga emas ini.
“Selain itu, hal yang dibimbangkan juga ialah anak-anak akan membuang orang tua mereka kerana ibu bapa mereka mengalami ketidakupayaan fizikal dan mental dan masalah kelangsungan hidup warga emas kerana tiada pendapatan,” katanya.
Justeru, Hajah Asral berkata, dengan program-program kesedaran dan keilmuan seperti ini, masyarakat akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Dalam Hi-Tea Amal ini juga, terdapat dua perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Darul Insyirah dengan KLIA Holdings dan Aman Palestin.
MoU bersama KLIA Holdings merupakan satu perjanjian dalam pembinaan Kompleks Darul Insyirah manakala Projek Anak Syria ditandangani bersama pihak Aman Palestin bagi membantu anak-anak Syria yang berada dalam Malaysia yang memfokuskan bidang pendidikan khususnya.
Orang ramai yang berminat membuat sumbangan boleh disalurkan kepada 562834631731 (Maybank) atas nama Darul Insyirah atau menghubungi nombor mereka di talian 03-89209661.
The post Darul Insyirah perlukan dana RM800,000 bangunkan kompleks warga emas baharu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Darul Insyirah perlukan dana RM800,000 bangunkan kompleks warga emas baharu
0 Komentar untuk "Darul Insyirah perlukan dana RM800,000 bangunkan kompleks warga emas baharu"