KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1439H, Selasa – Badan kehakiman mencipta sejarah apabila empat hakim wanita sekali gus dinaikkan pangkat ke Mahkamah Tertinggi negara ini.
Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif berkata, kenaikan pangkat Alizatul Khair Osman Khairuddin sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tiga hakim lagi iaitu Suraya Othman, Yeoh Wee Siam dan Rhodzariah Bujang, sebagai Hakim Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan prestasi dan budaya kerja yang telah mereka tunjukkan.
“Pastinya majlis pada hari ini merupakan suatu lagi kejayaan yang harus menjadi kebanggaan Yang Arif- Yang Arif, keluarga dan sahabat handai. Sesungguhnya pelantikan Yang Arif-Yang Arif pada hari ini merupakan satu sejarah badan kehakiman di mana empat hakim wanita sekali gus dinaikkan pangkat ke mahkamah tertinggi.
“Dalam erti kata lain kenaikan pangkat mereka adalah berdasarkan merit. Syabas kepada kaum wanita. Perlu saya nyatakan bahawa kenaikan pangkat keempat-empat hakim wanita ini bukan untuk memenuhi kuota wanita di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, tetapi kenaikan pangkat ini adalah kerana prestasi dan budaya kerja yang mereka tunjukkan selama ini ,” kata Md Raus diiringi tepukan gemuruh oleh hadirin pada majlis itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas majlis angkat sumpah pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Alizatul Khair Osman Khairuddin, 64, sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tiga hakim Mahkamah Tinggi iaitu Suraya Othman, 59, Yeoh Wee Siam, 64, dan Rhodzariah Bujang, 56, yang kesemuanya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Pelantikan keempat-empat hakim wanita itu berkuat kuasa 23 September 2017.
Dalam ucapannya, Md Raus berkata pada masa ini komposisi Mahkamah Persekutuan terdiri daripada 12 orang hakim lelaki dan tiga hakim wanita dan dengan pelantikan Alizatul Khair, jumlah hakim wanita di Mahkamah Persekutuan akan menjadi empat orang.
Katanya di Mahkamah Rayuan pula, sebelum ini terdapat 14 hakim lelaki dan 12 hakim wanita dan dengan pelantikan tiga hakim wanita ini menjadikan jumlah hakim wanita bertambah kepada 15 orang.
“Ini bermakna, lebih 50% Hakim Mahkamah Rayuan adalah hakim wanita,” katanya dalam nada berjenaka yang diiringi ketawa hadirin.
Beliau berkata perkembangan ini menunjukkan bahawa badan kehakiman tidak mengamalkan prejudis kepada jantina dalam sesuatu lantikan selagi seorang hakim itu menunjukkan budaya kerja yang baik dan cemerlang, mereka akan dinaikkan pangkat tanpa mengira jantina.
Bagaimanapun, Md Raus mengingatkan bahawa kenaikan pangkat membawa tanggungjawab yang lebih berat dan mencabar kepada hakim-hakim.
“Marilah kita sama-sama memelihara kebebasan badan kehakiman. Kebebasan badan kehakiman dan kepercayaan masyarakat awam kepada badan kehakiman akan dapat dipertingkatkan apabila hakim-hakim mempunyai integriti, ilmu dan kepakaran yang tinggi dalam bidang masing-masing.
“Kebebasan dan integriti adalah asas kepada keyakinan orang awam. Orang ramai harus percaya bahawa tiada yang boleh mempengaruhi hakim-hakim dalam membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu mendahului upacara angkat sumpah, ialah Alizatul Khair, yang berasal dari Ipoh, Perak yang memulakan kerjayanya dalam bidang perundangan sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara pada 1976 sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2011.
Suraya yang berasal dari Johor Bahru, Johor, memulakan kerjayanya pada Mei 1982 sebagai Timbalan Pendakwa Raya, di Jabatan Peguam Negara dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Peguam Kanan Penggubal Undang-Undang Parlimen dan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 5 September 2007.
Yeoh dari Muar, Johor, selain pernah menjadi Majistret di Johor Bahru, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia serta Pengerusi Mahkamah Perusahaan, dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos 2011.
Sementara itu, Rhodzariah, 56, yang berasal dari Bitangor, Sarawak pula memulakan kerjayanya sebagai Majistret di negeri kelahirannya dan pernah berkhidmat sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos 2011.
Keempat-empat wanita itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya. – Bernama
The post Empat hakim wanita dilantik ke Mahkamah Tertinggi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Empat hakim wanita dilantik ke Mahkamah Tertinggi
0 Komentar untuk "Empat hakim wanita dilantik ke Mahkamah Tertinggi"