Kalau kedai dobi yang diguna semua orang mungkin ada sisa najis mughallazah (anjing dan babi) masih melekat pada mesin basuh
ALHAMDULILLAH! Pedang ucap tahniah dan selamat maju jaya kepada pemilik kedai dobi layan diri di Muar, Johor kerana polisinya yang mengkhususkan kepada pelanggan Islam sahaja.
Apa yang dilakukannya kerana Islam dan semoga Allah memberi ganjaran kepadanya.
Patutnya, pengusaha-pengusaha kedai dobi beragama Islam yang lain mencontohi langkah itu, demi menjaga kebersihan pakaian menurut Islam. Selain, tanggungjawab kepada Islam dan umatnya. Bukan mengejar untung semata-mata.
Sementelahan isu itu mendapat perhatian ramai, selepas didedahkan akhbar, Pedang nasihatkan umat Islam, terutama yang masih bujang atau sudah berkeluarga supaya memilih kedai dobi yang khas untuk orang Islam sahaja, jika mahu mencuci pakaian.
Bukan apa. Bukan macam apa puak-puak tertentu yang mahu menjadikan langkah pemilik kedai di Muar itu sebagai isu perkauman.
Tapi, kalau di kedai dobi yang bercampur-campur, mungkin kebersihannya tidak terjamin. Maksud kebersihan ini, bukan dari sudut kekotoran, seperti tanah atau lain-lain, tapi kebersihan dari segi najis mughallazah atau najis berat, sebagaimana yang dikatakan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.
Apa jenis najis berat?. Anjing dan babi dan keturunannya atau salah satu daripada keduanya. Air liurnya, kotorannya, peluhnya dan lain-lain adalah najis mughallazah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah…….” (Al-Baqarah: 173)
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila anjing meminum air atau (menjilat) pada bekas air kepunyaan salah seorang di antara kamu, maka hendaklah bekas air itu dibasuh sebanyak tujuh kali (menyamak) salah satunya dengan tanah.” (Riwayat Muslim)
Lagipun, kalau kedai dobi yang bercampur-campur pelanggannya, kita tidak tahu, mungkin ada pakaian atau cadar pelanggan orang lain sudah terkena najis-najis berat itu. Ada orang yang suka bela anjing dalam rumah dan tentulah kadang-kala terkena kepada pakaian mereka.
Memang betul mesin dobi itu berputar-putar dan membuang sisa basuhan. Tetapi, kesan-kesan najis mughallazah itu tetap kekal di situ. Dan, apabila ada umat Islam yang menggunakan mesin basuh yang sama, sisa najis berat itu sedikit sebanyak akan melekat juga pada pakaian.
Apa lagi jika pakaian itu digunakan untuk kita bersolat. Macam kata Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut, kepada sebuah akhbar tempatan:
“Sekarang yang Islam perlu pandang isu najis mughallazah sebab najis dan kotor lain (berbeza), kotor boleh buat sembahyang. Sebab itu mesti dibersihkan dulu (pakaian hendak dicuci) dan baru masuk dalam mesin basuh, ini penting.”
Katanya lagi:
“Apa yang menjadi masalah ialah jika air berkenaan tidak mengalir, tapi peringkat awal bercantum dengan air bernajis. Dalam isu ini, kedua-dua pihak sama ada Muslim atau bukan Muslim perlu pastikan najis terdapat pada pakaian dibersihkan terlebih dulu.”
Tapi Pedang rasa orang kafir, tak akan membersihkan (samak) najis berat itu terlebih dahulu sebelum mencuci pakaian di kedai dobi. Dia bukan peduli pun sama ada najis itu mughallazah, mukhaffafah atau mutawassitah.
Oleh kerana sekarang ini telah wujud kedai dobi khas untuk orang Islam sahaja, Pedang harap tidak ada pihak yang iri hati dan cuba untuk merosakkan perniagaan itu. Pedang pasti ramai umat Islam yang semakin sedar untuk menjaga kebersihan, khususnya pakaian.
Takkan kita nak pakai pakaian yang dibaluti sisa anjing atau babi! Usah beri alasan kita tidak tahu kerana sekarang ini maklumat mengenainya sudah tular di laman-laman sosial.
Sekali lagi Pedang ucapkan tahniah kepada pemilik kedai dobi di Muar itu, dan berharap lebih ramai umat Islam yang sedia membuka kedai dobi khas untuk umat Islam. Orang lain, boleh cuci pakaian di kedai dobi lain.
Kata Pedang: Pedang cuci pakaian di rumah guna mesin pembasuh, kadang-kadang sental dengan tangan.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post Kata Pedang: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam elak najis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kata Pedang: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam elak najis
0 Komentar untuk "Kata Pedang: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam elak najis"