IPOH, 12 Zulhijjah 1438H, Ahad – Kementerian Kesihatan menerima permohonan maaf daripada theindependent.sg, atau TISG berhubung penyiaran laporan tidak tepat mengenai kematian seorang warganegara Singapura baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya menerima permohonan maaf berkenaan dengan hati terbuka.
“Hari ini portal itu dah minta maaf mengenai apa yang disebarkan dan kalau mereka minta maaf kita ok sahaja.
“Selain itu berita yang disiarkan juga telah dikeluarkan daripada portal berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Negeri Perak ke-71 di sini, hari ini.
Hari ini, TISG menerusi notis di laman webnya menyatakan ia memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang berkenaan susulan penderitaan dan kesedihan akibat daripada insiden itu.
Notis itu menggantikan artikel asal bertajuk “warga Singapura berusia 25 tahun meninggal dunia selepas hospital Malaysia menuntut bayaran tunai sebelum rawatan” yang disiarkan pada 31 Ogos lalu.
The Independent melaporkan ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru lewat memberikan tindakan balas sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lalu.
Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.
Laporan juga mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan. – Bernama
The post Kementerian Kesihatan terima permohonan maaf portal Singapura appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kementerian Kesihatan terima permohonan maaf portal Singapura
0 Komentar untuk "Kementerian Kesihatan terima permohonan maaf portal Singapura"